Tuesday, October 16, 2012

Buku 'Anakku Brain Tumor"

Ia buku terbaru yang saya baca. Buku ini mengisahkan pengalaman penulis menghadapi dugaan berat apabila anak yang ke-3 iaitu Ahmad Mahir Baihaqi disahkan menghidap brain tumor. Penulis yang bernama Isyah Radhiah iaitu isteri kepada Che Amran penyanyi kumpulan nasyid Raihan merupakan seorang guru dan juga pelajar PHD dalam bidang dakwah dan kepimpinan. Beliau berkongsi pengalaman dari saat awal kelahiran anaknya yang ke-3 sehingga anaknya mengalami simptom-simptom ketumbuhan otak.



Saya yakin ramai lagi ibubapa tidak mengetahui dan menyedari simptom-simptom 'brain tumor'. Pelbagai peristiwa yang menyentuh hati sebagai seorang ibu, ayah dan masyarakat disentuh di dalam buku ini. Beliau turut berkongsi saat-saat getir untuk membuat keputusan yang besar demi menyelamatkan anak tersayang. Ujian dihadapi oleh mereka amatlah besar dan mungkin tak tertanggung oleh saya.


Buku ini banyak memberi pengajaran yang berguna kepada kita semua. Ia menyentuh soal menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa di saat susah dan senang. Ia membuka mata hati agar kita semua seharusnya bersyukur di atas segala anugerah yang kita ada pada hari. Buku ini juga secara tidak langsung mengajar erti tanggungjawab sebagai seorang isteri,ibu, anak, kawan dan masyarakat. Penulis turut berkongsi doa-doa yang mustajab yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian terutama apabila menghadapi musibah.

Saya menggalakkan semua pembaca blog agar membaca buku ini. Ia sarat dengan pengajaran dan ilmu dalam menghadapi cabaran mengubati anak yang mengalami ketumbuhan otak. Semoga saudari Isyah Radhiah diberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda di atas perkongsian beliau yang berguna kepada masyarakat. Insyaallah!.Amin.

1 comment:

Unknown said...

bagusnyer buku ni..kekuatan jiwa tu penting kan..;)