Thursday, October 20, 2011

Bahaya fitnah dalam hidup


SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.
Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.


Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: "Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid." (riwayat Ahmad)


Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.
Bak kata pepatah "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya".


Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)
Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).
Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.


Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)
Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.


Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.


Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.
Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.
Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, "Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut".


Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.
Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.
Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: "Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a..."



sumber:--utusan

Thursday, October 13, 2011

SYUKUR PADAMU

Sungguh saya berasa amat bersyukur ke hadrat Allah s.w.t yang telah memberi kekuatan (yang agak luar biasa) dan kesihatan yang baik di akhir-akhir ini. Hampir 3 minggu saya bertungkus-lumus menyiapkan segala tugas yang akan ditinggalkan kepada rakan sejawat. Alhamdulillah! hampir 99% kerja saya telah pun diselesaikan. Harap ia tidak membebankan guru pengganti yang akan menyambung tugasan saya selama 3 bulan di IKMKL. Insyaallah! minggu hadapan saya akan cuti bersalin dan tarikh jangkaannya adalah 2 hari sebelum Deepavali. Doakan saya semoga selamat bersalin untuk anak yang kedua ini. Semoga dipermudahkan segala urusan oleh Allah s.w.t. 


Saya juga memohon maaf kepada pembaca blog saya, ingat ke blog ini tiada pembaca setia rupa-rupanya ada. Saya agak mungkin tak ramai, namun Alhamdulillah!. Terima kasih kepada rakan sahabat maya yang sudi singgah di ruangan saya ini. 


Sepanjang saya hamil anak yang kedua ini, ramai yang bertanya
"Dah scan baby belum?". Jawapan saya 
"Dah, tapi tak nampak jantina". Kebanyakannya akan membalas begini 
"Oh! biasa kalau tak nampak mesti perempuan". Dalam hati saya berbunga riang sebabnya hampir 'sebeban' dah baju warna pink yang berambu-rambai siap dibeli... muahaha... Tambahan lagi, instinct saya kuat mengatakan perempuan. Harap ia menjadi kenyataan. Amin. Namun, kalau ditakdirkan lelaki saya suka aje, siapa yang tak sayang anak kan?... hahaha... Yang penting sihat dan menjadi hamba Allah yg bertaqwa. Insyaallah!

Friday, October 7, 2011

IKHLAS BERIBADAT

Sumber : berita harian -2011/10/07


UMAT Islam diingatkan oleh Allah SWT bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. 

Saidina Ali berkata: “Hai dunia, tipulah orang lain selain aku. Aku telah menceraimu dengan talak tiga. Umurmu pendek, perhiasanmu sulit dan bahayamu sangat besar. Betapa sedikit bekalku, betapa panjang perjalananku dan betapa sunyi jalanku.”
Justeru, dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT, manusia dapat digolongkan kepada dua golongan. Pertama, mereka yang taat dan patuh menjalankan perintah Allah SWT dan kedua, mereka yang ingkar dengan ketentuan serta ketetapan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan dua golongan itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; adakah kedua-dua golongan itu sama keadaannya, maka tidakkah kamu mengambil peringatan.” (Surah Hud, ayat 24) 

Orang yang beriman menyerahkan kehidupan kepada Allah SWT. Mereka lebih mementingkan keredaan Allah SWT daripada bermewah dengan kehidupan dunia, menjaga solat, menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tidak berguna. 

Menafkahkan harta mereka ke jalan Allah SWT, menjaga kemaluan atau kehormatan daripada kemungkaran, tidak melampaui batas dalam bertindak dan sentiasa menjaga amanah. Sebaliknya bagi yang ingkar dan maksiat, mereka berpegang teguh dengan tali syaitan yang menguasai kehidupan mereka. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah, bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.” (Surah al-Mujadalah, ayat 19) 
Musuh Allah SWT iaitu syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ke lembah maksiat, dengan lisan ataupun perbuatan. Cara lisan lebih penting daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. 

Saidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW amalan yang dapat memasukkan ke syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda: “Hendaklah kamu menjaga ini. Selanjutnya Baginda bersabda: Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita perkatakan.” 

Allah SWT menyingkap rancangan musuh-Nya sebagai pintu masuk yang merosakkan manusia antara lain, ajakan kepada kejahatan, menanam rasa takut miskin, menyemai nilai dusta, menanamkan permusuhan antara individu, keluarga dan masyarakat. 

Mencegah daripada mengingati Allah SWT dengan kesenangan atau kesulitan, menghalalkan apa yang diharamkan Allah SWT, menanam rasa putus asa, takjub, ego, takbur, memperbanyakkan harta untuk sekadar disimpan bukan kepentingan umum. 

Hasil daripada Allah SWT menyingkap pintu musuh Allah ini, maka lahirlah manusia terpaut dengan ajakan serta bisikan yang mendatangkan kerosakan pada kehidupan manusia itu sendiri. Dengan godaan, akhirnya ramailah manusia bergabung menjadi pengikut kemaksiatan ini. 

Bagi menutup pintu maksiat, hendaklah kita sedar dan insaf bahawa pintu taubat sentiasa terbuka. Mereka yang ingin bertaubat dan hidup tanpa maksiat hendaklah ikhlas serta menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT untuk mengelak diperhambakan hawa nafsu. 

Dalam kehidupan hari ini ramai menghadapi penyakit hidup bermaksiat. Ingatlah, kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes jenayah, pembunuhan, penindasan, membunuh diri, kejahatan, kezaliman adalah perbuatan yang dipengaruhi hawa nafsu. 

Mereka yang menjadikan nafsu sebagai petunjuk kehidupan akan gagal, resah kerana diburu rasa bersalah kepada Allah dan diri sendiri. 

Marilah kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menutup pintu maksiat dan mengingati akhirat supaya kita sedar hakikat kehidupan.