Oleh : Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini.
Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang
yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas
akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia
yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal
yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.
Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan
hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri
mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala
yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan
Nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar
oleh Alah kepada NabiNya s.a.w
Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan
dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan
rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah
imbangan yang terkandung dalam firman Allah:
“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)
HINA DAN MULIA
Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu
perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur.
Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat
pun. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan
masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.
Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.
APAKAH SYURGA MURAH?
Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang
besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk
air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu
perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat
jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid?
Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan
menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan
dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!
Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan
adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya.
Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan
kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya.
Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan
tawaduk kepada Allah.
Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan
berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai
solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah
berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang
seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah
disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya.
Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu
mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan
langit dan bumi.
Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam,
Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang
melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai
kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama.
Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan
yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan
keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah
semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.
BANYAK DAN SEDIKIT
Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya
lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung
dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan
mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000.
Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu.
Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit
sehari.
Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin
lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf
terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi
Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta
dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu;
tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih
kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang
besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.
TIDAK SAMPAI AJARAN
Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu
memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan
insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu,
maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan
lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau
kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah
tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada
dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti
dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan
ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.
Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada
masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam
atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam
tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan.
Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada
diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan
dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:
“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).
Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada
seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran
Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat
manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam,
umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang
baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa
mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah
mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan
Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal
menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.
INSAFI DIRI
Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada
orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap
dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha
Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain.
Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah
sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang
baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang
melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan,
kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan
Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf
terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh
orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita!
Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat
keampunan Allah!