Thursday, July 21, 2011

ALAM ROH YANG BERBEZA


Dari Al-Bara' bin 'Azib RA, katanya:
Kami telah keluar bersama-sama Nabi S.A.W, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah S.A.W pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu seolah-olah ada burung yang hinggap di atas kepala kami, manakala Baginda S.A.W pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. Setelah itu Baginda S.A.W mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur", (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali.
Kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila dia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa bersama mereka kain-kain kapan dari syurga, dan haruman yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang.
Kemudian datang Izrail a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Wahai jiwa yang baik! Keluarlah engkau menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah".
Baginda S.A.W bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu keluar – mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya di dalam kain kapan dan haruman tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti haruman kasturi yang terdapat di atas muka bumi."
Baginda S.A.W bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang baik ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si fulan anak si fulan' (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka, kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh."
Setelah itu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu): "Simpanlah suratan amal hamba-Ku ini dalam 'Illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi".
Baginda S.A.W bersabda lagi: "Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut, lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Hai jiwa yang jahat! Keluarlah engkau menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah".
Baginda S.A.W bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah. Malakul maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut, dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang jahat ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si fulan anak si fulan," (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya."
Kemudian Rasulullah S.A.W membaca (ayat 40 Surah al-A'raf ertinya): ".....Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga umpama seekor unta yang cuba untuk masuk di dalam lubang jarum.".
Kemudian Baginda S.A.W bersabda lagi: "Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: "Simpanlah suratan amal jahatnya di dalam neraka Sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letakkanya di bumi yang terkebawah sekali.Lalu dicampakkan rohnya ke situ."(HR Ahmad, Abu Dawud)

Wednesday, July 20, 2011

DOA MENGHILANGKAN TEKANAN


اللهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَ ابْنُ عَبْدِكَ ، وَ وَ ابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ أنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَداً مِنْ خَلْقِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ اْلغَيْبِ عِنْدَكَ ، أنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي،وَ نُوْرَ صَدْرِي ، وَجَلاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي

Maksudnya:
“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu (lelaki) dan anak hambaMu (perempuan) . Ubun-ubunku dalam gengamanMu, hukumanMu berlalu kepadaku, Qada’ ( keputusan ) Mu kepadaku adalah adil, aku mohon kepadamu dengan setiap nama yang telah engkau berikan untuk diriMu, atau yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang engkau simpankan dalam perbendaharan ghaib dari ilmuMu, agar Engkau jadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku , cahaya dadaku, pelenyap dukaku dan penghilang kesedihanku”.

Petua Beramal
Sesiapa ditimpa perasaan sedih dan duka , maka hendaklah dia berdoa dengan apa yang dianjurkan oleh Nabi saw ini . Tatkala Nabi saw selesai mengajar doa ini, seorang sahabat bertanya kepada baginda saw : Wahai RasululLah , orang yang lemah adalah orang yang meninggalkan doa ini ? Jawab baginda saw Ya ! sebab itu bacalah olehmu doa ini dan ajarkanlah ia . Sesiapa yang yang membacanya menurut apa yang tersebut itu nescaya Allah swt akan menghilangkan dukacitanya dan memanjangkan perasaan senangnya.

sumber :klik sini

Tuesday, July 19, 2011

AKAN KU TERUS KETUK PINTU TUHANKU

P

P/s - puisi yang sangat menyentuh hati!!

MENCARI HIKMAH DI SEBALIK DUKA DAN DERITA

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)

Duka, gundah dan derita itu tidak diminta. Bahkan kita disuruh berlindung dengan Allah daripada semuanya. Namun, seperti mana penyakit, ia hadir ke dalam kehidupan seseorang melalui pelbagai jalan. Kita tidak mencari penyakit, tetapi jika ia datang juga, kita akan sabar dengan mengharapkan pahala dan keampunan Allah. Walaupun penyakit itu tidak digemari, tetapi betapa ramai insan yang menghampirkan diri kepada Allah kerana penyakit yang menimpanya. Lalu, dia akan berkata pada suatu hari “alangkah rahmatnya ujian kesakitan itu”.

Duka dan derita itu lebih luas daripada sakit. Sakit merupakan salah satu sebab duka dan derita, tetapi betapa banyak duka dan derita yang tidak disebabkan penyakit. Duka dan derita boleh hinggap kepada insan yang sihat dan yang sakit. Terkena kepada yang miskin dan yang kaya. Menimpa yang bergelar hamba dan bergelar raja. Kadang-kala ia datang dengan bersebab. Kadang-kala seakan tidak tahu sebabnya. Kadang-kala kelihatan sebab itu sangat kerdil, tetapi derita di jiwa sangat besar.


Pelik
Ya, ini satu bab yang perlu dihayati dalam kehidupan. Ajaibnya makhluk yang bernama duka dan derita itu. Ia boleh datang dalam pelbagai rupa, muncul dalam pelbagai gaya. Menerjah ke dalam pelbagai dada dan jiwa. Kecil besar rasa derita dan duka itu kadang-kala tidak diukur dengan kadar sebabnya, tetapi dengan kadar perasaan mengenainya. Perasaan itu tidak dapat dikawal oleh insan, melainkan insan kembali kepada hakikat kehidupan dengan pergantungan kepada Allah. Sebab itu, apabila insan ditimpa musibah, dia disuruh kembali memahami hakikat dunia ini. Allah berfirman (maksudnya):
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” (Surah al-Baqarah 155-157).
Banyak musibah, apabila insan teliti, tidaklah sebesar mana. Jika pun besar, apabila diteliti hakikat kehidupan ini, lantas insan bergantung kembali kepada Allah, maka segalanya itu kerdil semata.
Lalai
Banyak hikmah di sebalik duka dan derita yang melanda kehidupan seseorang insan. Kadang-kala, hidup yang dipenuhi suka dan ceria semata telah melalaikan ramai manusia. Ingatannya kepada akhirat dan kehidupan yang hakiki antara tenggelam dan timbul. Mungkin juga menjadi kabur. Bukan kerana tidak tahu tentang hakikat sementaranya hidup ini, tetapi kerana terlalu dengan kemeriahan hidup, kehalusan perasaan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat itu terhakis.
Sebanyak mana pun ilmunya dalam agama, bukanlah menjamin hubungannya dengan Allah sentiasa kusyuk dan kudus. Tiba-tiba apabila duka dan derita hadir, insan mula memanggil Tuhan siang dan malam. Insan mula insaf bahawa inilah kehidupan yang sementara, lantas harapannya bergantung kepada Allah semata. Dia pu mengharapkan apa yang hilang di sini, diperolehi di sana.
Betapa ramai kembali mencari akhirat apabila mereka merasai keperitan dunia ini. Betapa ramai yang mula mencintai syurga dan merindui pertemuan dengan Allah disebabkan derita dunia yang dilaluinya. Betapa ramai yang tidak sempat bercerita tentang keindahan syurgawi kerana disibukkan dengan kepalsuan duniawi, kembali menghayati perjalanan hidup yang hakiki disebabkan duka dan derita yang menimpa. Allah menceritakan tentang ucapan ahli syurga apabila mereka memasuki syurga kelak, mereka berkata (maksudnya):
“dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah, yang telah menghilangkan perasaan dukacita dari kami; sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang Yang taat); Tuhan Yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu”. (Surah Fatir, 34-35).
Doa
Insan apabila putus asa dengan segala jalan, jika masih ada dalam jiwanya iman, dia akan mencari tuhan. Betapa ramai yang mempelajari kemustajaban doa ketika dia dalam derita, sedangkan sebelum itu dia tidak pernah mempedulikannya. Cumanya, jika dia tidak dibimbing dengan ilmu yang sahih mengenai sunnah Nabi s.a.w, maka pelbagai unsur khurafat, doa rekaan, hadis palsu akan disambarnya dalam kekalutan mencari kemustajaban. Buku-buku doa banyak yang dimuatkan dengan maklumat yang tidak bersumber fakta yang sahih seperti cerita-cerita pelik yang tidak berasaskan riwayat yang benar.
Namun, jika insan memiliki dalam fikirannya manhaj yang sahih dalam mengambil sumber agama, maka ketika dalam kesusahan itu dia akan mencari nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih mengenai kemustajaban doa dan ungkapan-ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman. Justeru, ramaikan yang kembali memahami agama, menghayati sunnah Rasulullah s.a.w disebabkan ujian duka dan sengsara yang menimpa dirinya. Demikianlah kadang-kala duka dan derita membawa insan kepada ilmu dan amal.
Antara yang diajar oleh Nabi s.a.w ialah seperti yang disebut oleh baginda dalam hadis:
“Doa orang yang dalam kesusahan: “Ya Allah, rahmatMu yang daku harapkan. Jangan Dikau serahkanku kepada diriku walaupun sekelip mata. Baikilah untukku urusanku semuanya. Tiada yang diabdikan diri melaikan Engkau”. (Riwayat Abu Daud, bertaraf sahih).
Lihat inti doa tersebut. Betapa indahnya apabila insan mengharapkan rahmat Tuhan, memohon Allah menguruskan dirinya sepenuhnya, sehingga agar tidak dibiarkan walaupun sekelip mata. Mohon dibaiki segala urusan. Allah! Alangkah indah penyerahan itu. Alangkah indah perdampingan itu. Alangkah terasa kehambaan diri seorang insan di hadapan kebesaran Tuhan.
Tawakkal
Tawakkal! Ramai yang boleh menyebutnya, bahkan menjadi hiasan di bibirnya. Namun, hakikat tawakkal iaitu pergantungan segala harapan hanya kepada Allah tidaklah mudah untuk dihayati. Ia memerlukan ketakwaan dan asuhan rabbani. Duka dan derita mampu mengasuh insan agar menyerahkan diri kepada Allah Yang Memiliki segala-galanya.
Tawakkal adalah keajaiban. Ramai yang tidak dapat melihat keajaiban tawakkal kerana mereka tidak memiliki jiwa yang benar-benar bertawakkal. Walaupun mulut mungkin menyebut bergantung kepada Allah, namun jantung hatinya masih bergantung dan berharap kepada selain Allah.
Tawakkal tidak menafikan usaha. Tetapi hati nurani yang bertawakkal tiada lain melainkan Allah sahaja pergantungannya. Usaha hanya sebab, Allah penentu segalanya. Apabila insan sampai ke peringkat yang indah itu, maka di situ terlaksananya firman Allah (maksudnya):
“..sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya” (Surah al-Talaq, 3).
Duka dan derita mampu membawa insan yang beriman ke darjat yang kudus ini.
Hapus Dosa
Banyak dosa yang terhapus, darjat di sisi Allah diangkat kerana derita yang menimpa jiwa. Nabi s.a.w bersabda:
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat lain “..kecuali Allah angkat dengan sebab itu darjat dan padamkan dosa”. Lihat, betapa jiwa yang redha itu tidak sia-sia. Bala tidak dicari, derita tidak ditempa, tetapi jika tetap datang, jiwa mukmin akan redha dengan Allah sehingga Allah memberikan ganjaran untuknya dan diangkat kedudukannya. Sesungguhnya keperluan insan tentang penghapusan dosa dan ketinggian darjat di sisi Allah lebih besar dari segala. Namun, dengan berpadukan perasaan dan mata yang terlalu duniawi, insan melupai hakikat kehidupan yang abadi. Padahal nikmat duniawi ini hanya beberapa bilangan hari, yang beransur pergi bersama usia yang meningkat bagi setiap ketika. Kita tidak menempa derita, tetapi derita boleh membawa bahagia selamanya.
Dengan derita juga insan insaf, membetulkan yang silap, meneruskan saki perjalanan yang ada. Betapa ramai yang menjadi soleh kerana derita yang dilaluinya. Maka, demikianlah Nabi s.a.w minta supaya kita membetulkan sikap dalam menghadapi kerenah hidup. Sabda Nabi s.a.w:
“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin.
Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya” (Riwayat Muslim).

p/s - 
Semoga artikel yang ditulis oleh Dr. Asri ini memberi manfaat buat kita semua. Insyaallah!

HADIRNYA KESEDIHAN

Monday, July 11, 2011

BILA SOLATMU GUNDAH




Bila solatmu gundah
wudukmu was-was
diulang-ulang membilas
hingga hatimu puas

bila solatmu gundah
Takbirmu resah
Syaitan bermadah-madah
buat hatimu jadi gelisah

Bila solatmu gundah
Bacaanmu lelah
fikiranmu kalah
Jiwamu semakin rendah

Bila solatmu gundah
Kembalilah kepada Allah
Itu tanda dosamu bergalas
Hatimu hitam berbekas

Bila solatmu gundah
Tinggallah segala maksiat
Jauhi segala umpat dan fitnah
Hiaslah akhlakmu penuh mahmudah


Bila solatmu gundah
Solat taubat nasuha adalah pengubat
seribu kekesalan dicurah
Semoga hidupmu kembali terarah




p/s-Insyaallah!

Friday, July 8, 2011

TIPS MENGEMAS RUMAH

Kebanyakan isteri di zaman sekarang bekerja. 
Namun dalam masa yang sama turut menjadi 
suri rumah selepas waktu bekerja. 
Sebenarnya ia menjadi cabaran kepada para isteri 
untuk menguruskan rumahtangga 
dengan sempurna lebih-lebih lagi 
yang tiada maid di rumah.


  Pelbagai perkara yang perlu dilakukan 
seperti memasak, mengemas rumah, menggosok pakaian, mencuci pinggan mangkuk dan lain-lain lagi.
 Ia harus dilakukan bagi memastikan 
keperluan anak-anak dan suami dipenuhi setiap hari.

Oleh itu ada beberapa tips yang mungkin 
boleh dikongsi bersama agar rumah 
sentiasa kemas dan bersih. Saya yakin
rumah yang kemas dan bersih 
adalah rahsia memikat hati suami
Betul tak? 
Ingat rumah adalah tempat istirehat yang 
paling selesa buat keluarga. 
Oleh itu,setiap hari selepas pulang dari kerja pastikan ;

1. Basuh pinggan di singki.

2. Mesin pakaian (cukuplah 1 @ 2 mesin sahaja.)

3. Lipat baju ( 1 bakul cukup)

4. Menyapu (1 @ 2 ruang sahaja)

5. Kemas ruang yang bersepah (1 @ 2 ruang sahaja)
Tidak perlulah membuat kerja rumah
 bertungkus-lumus kerana
 kita pun perlu berehat yang secukupnya
 setelah seharian penat bekerja. 
Jika 4 perkara di atas dilakukan secara konsisten, 
pastinya rumah  anda sentiasa kemas.
( ataupun sekurang-kurangnya rumah kita nampaklah rupanya... ahahaha!)


Jadi,dihujung minggu tidaklah kita terlalu penat 
menguruskan kerja rumah yang melonggok.
 Cuma kita mungkin boleh menyambung kerja rumah
 yang masih berbaki seperti mengemop lantai, mencuci tandas, melipat dan menggosok pakaian dan lain-lain.

Apa yang penting, bangun dari tidur dihujung minggu 
dengan penuh senyuman kebahagiaan... Rumahku syurgaku... chewwah!~



Sekian.


p/s - Selamat mencuba. Terpulanglah kepada anda untuk 
memilih tips yang sesuai bagi rumah anda!

Monday, July 4, 2011

MY BIRTHDAY!

25 Jun (Sabtu) lepas genaplah usia saya yang ke 29. 
Alhamdulillah! syukur kepada Allah s.w.t di atas segala nikmat 
(usia, kesihatan, kebahagiaan, keselamatan,rezeki dll) 
serta kekuatan yang diberikan untuk menghadapi ujian dalam hidup ini. 


Kali ini birthday saya disambut lewat sehari 
memandangkan En. Hubby yang terlampau sibuk sejak akhir-akhir ini.
 Hampir setiap hari dia pulang lewat ke rumah kerana pelbagai urusan. 
Kekadang timbul rasa simpati juga melihat dia bertungkus lumus 
mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga. 


Jadi Ahad malam barulah En. Hubby 
berkesempatan meluangkan masa untuk meraikannya 
di restoran Wadi Hadramawt di jalan Ampang.
 Wah! saya sungguh gembira kerana sudah lama teringin untuk 
menikmati makanan arab di restoran arab yang agak famous di Kuala lumpur. 
(Yealah! dekat jea dengan rumah tapi tak pernah singgah).


Pelbagai hidangan timur tengah disajikan.
 Difahamkan semua chef  dan peralatan memasak di bawa dari tanah arab 
semata-mata untuk memelihara rasa dan kualiti makanan arab yang asli. 
Emm..kepada kawan-kawan yang ingin menikmati
 makanan arab yang lazat dengan harga yang berbaloi 
bolehlah menjamu selera disana.. Jomm!!



Haa... cantik tak restoran ni?.. romantikkan!.. muahahaa....

(gambar ini diambil dari internet)
..
..
..
..
..



Emmmmmmmm......


 Thanks a lot to my hubby for birthday gift!.. :).. luv u!


p/s -