Tuesday, July 19, 2011

MENCARI HIKMAH DI SEBALIK DUKA DAN DERITA

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)

Duka, gundah dan derita itu tidak diminta. Bahkan kita disuruh berlindung dengan Allah daripada semuanya. Namun, seperti mana penyakit, ia hadir ke dalam kehidupan seseorang melalui pelbagai jalan. Kita tidak mencari penyakit, tetapi jika ia datang juga, kita akan sabar dengan mengharapkan pahala dan keampunan Allah. Walaupun penyakit itu tidak digemari, tetapi betapa ramai insan yang menghampirkan diri kepada Allah kerana penyakit yang menimpanya. Lalu, dia akan berkata pada suatu hari “alangkah rahmatnya ujian kesakitan itu”.

Duka dan derita itu lebih luas daripada sakit. Sakit merupakan salah satu sebab duka dan derita, tetapi betapa banyak duka dan derita yang tidak disebabkan penyakit. Duka dan derita boleh hinggap kepada insan yang sihat dan yang sakit. Terkena kepada yang miskin dan yang kaya. Menimpa yang bergelar hamba dan bergelar raja. Kadang-kala ia datang dengan bersebab. Kadang-kala seakan tidak tahu sebabnya. Kadang-kala kelihatan sebab itu sangat kerdil, tetapi derita di jiwa sangat besar.


Pelik
Ya, ini satu bab yang perlu dihayati dalam kehidupan. Ajaibnya makhluk yang bernama duka dan derita itu. Ia boleh datang dalam pelbagai rupa, muncul dalam pelbagai gaya. Menerjah ke dalam pelbagai dada dan jiwa. Kecil besar rasa derita dan duka itu kadang-kala tidak diukur dengan kadar sebabnya, tetapi dengan kadar perasaan mengenainya. Perasaan itu tidak dapat dikawal oleh insan, melainkan insan kembali kepada hakikat kehidupan dengan pergantungan kepada Allah. Sebab itu, apabila insan ditimpa musibah, dia disuruh kembali memahami hakikat dunia ini. Allah berfirman (maksudnya):
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” (Surah al-Baqarah 155-157).
Banyak musibah, apabila insan teliti, tidaklah sebesar mana. Jika pun besar, apabila diteliti hakikat kehidupan ini, lantas insan bergantung kembali kepada Allah, maka segalanya itu kerdil semata.
Lalai
Banyak hikmah di sebalik duka dan derita yang melanda kehidupan seseorang insan. Kadang-kala, hidup yang dipenuhi suka dan ceria semata telah melalaikan ramai manusia. Ingatannya kepada akhirat dan kehidupan yang hakiki antara tenggelam dan timbul. Mungkin juga menjadi kabur. Bukan kerana tidak tahu tentang hakikat sementaranya hidup ini, tetapi kerana terlalu dengan kemeriahan hidup, kehalusan perasaan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat itu terhakis.
Sebanyak mana pun ilmunya dalam agama, bukanlah menjamin hubungannya dengan Allah sentiasa kusyuk dan kudus. Tiba-tiba apabila duka dan derita hadir, insan mula memanggil Tuhan siang dan malam. Insan mula insaf bahawa inilah kehidupan yang sementara, lantas harapannya bergantung kepada Allah semata. Dia pu mengharapkan apa yang hilang di sini, diperolehi di sana.
Betapa ramai kembali mencari akhirat apabila mereka merasai keperitan dunia ini. Betapa ramai yang mula mencintai syurga dan merindui pertemuan dengan Allah disebabkan derita dunia yang dilaluinya. Betapa ramai yang tidak sempat bercerita tentang keindahan syurgawi kerana disibukkan dengan kepalsuan duniawi, kembali menghayati perjalanan hidup yang hakiki disebabkan duka dan derita yang menimpa. Allah menceritakan tentang ucapan ahli syurga apabila mereka memasuki syurga kelak, mereka berkata (maksudnya):
“dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah, yang telah menghilangkan perasaan dukacita dari kami; sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang Yang taat); Tuhan Yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu”. (Surah Fatir, 34-35).
Doa
Insan apabila putus asa dengan segala jalan, jika masih ada dalam jiwanya iman, dia akan mencari tuhan. Betapa ramai yang mempelajari kemustajaban doa ketika dia dalam derita, sedangkan sebelum itu dia tidak pernah mempedulikannya. Cumanya, jika dia tidak dibimbing dengan ilmu yang sahih mengenai sunnah Nabi s.a.w, maka pelbagai unsur khurafat, doa rekaan, hadis palsu akan disambarnya dalam kekalutan mencari kemustajaban. Buku-buku doa banyak yang dimuatkan dengan maklumat yang tidak bersumber fakta yang sahih seperti cerita-cerita pelik yang tidak berasaskan riwayat yang benar.
Namun, jika insan memiliki dalam fikirannya manhaj yang sahih dalam mengambil sumber agama, maka ketika dalam kesusahan itu dia akan mencari nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih mengenai kemustajaban doa dan ungkapan-ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman. Justeru, ramaikan yang kembali memahami agama, menghayati sunnah Rasulullah s.a.w disebabkan ujian duka dan sengsara yang menimpa dirinya. Demikianlah kadang-kala duka dan derita membawa insan kepada ilmu dan amal.
Antara yang diajar oleh Nabi s.a.w ialah seperti yang disebut oleh baginda dalam hadis:
“Doa orang yang dalam kesusahan: “Ya Allah, rahmatMu yang daku harapkan. Jangan Dikau serahkanku kepada diriku walaupun sekelip mata. Baikilah untukku urusanku semuanya. Tiada yang diabdikan diri melaikan Engkau”. (Riwayat Abu Daud, bertaraf sahih).
Lihat inti doa tersebut. Betapa indahnya apabila insan mengharapkan rahmat Tuhan, memohon Allah menguruskan dirinya sepenuhnya, sehingga agar tidak dibiarkan walaupun sekelip mata. Mohon dibaiki segala urusan. Allah! Alangkah indah penyerahan itu. Alangkah indah perdampingan itu. Alangkah terasa kehambaan diri seorang insan di hadapan kebesaran Tuhan.
Tawakkal
Tawakkal! Ramai yang boleh menyebutnya, bahkan menjadi hiasan di bibirnya. Namun, hakikat tawakkal iaitu pergantungan segala harapan hanya kepada Allah tidaklah mudah untuk dihayati. Ia memerlukan ketakwaan dan asuhan rabbani. Duka dan derita mampu mengasuh insan agar menyerahkan diri kepada Allah Yang Memiliki segala-galanya.
Tawakkal adalah keajaiban. Ramai yang tidak dapat melihat keajaiban tawakkal kerana mereka tidak memiliki jiwa yang benar-benar bertawakkal. Walaupun mulut mungkin menyebut bergantung kepada Allah, namun jantung hatinya masih bergantung dan berharap kepada selain Allah.
Tawakkal tidak menafikan usaha. Tetapi hati nurani yang bertawakkal tiada lain melainkan Allah sahaja pergantungannya. Usaha hanya sebab, Allah penentu segalanya. Apabila insan sampai ke peringkat yang indah itu, maka di situ terlaksananya firman Allah (maksudnya):
“..sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya” (Surah al-Talaq, 3).
Duka dan derita mampu membawa insan yang beriman ke darjat yang kudus ini.
Hapus Dosa
Banyak dosa yang terhapus, darjat di sisi Allah diangkat kerana derita yang menimpa jiwa. Nabi s.a.w bersabda:
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat lain “..kecuali Allah angkat dengan sebab itu darjat dan padamkan dosa”. Lihat, betapa jiwa yang redha itu tidak sia-sia. Bala tidak dicari, derita tidak ditempa, tetapi jika tetap datang, jiwa mukmin akan redha dengan Allah sehingga Allah memberikan ganjaran untuknya dan diangkat kedudukannya. Sesungguhnya keperluan insan tentang penghapusan dosa dan ketinggian darjat di sisi Allah lebih besar dari segala. Namun, dengan berpadukan perasaan dan mata yang terlalu duniawi, insan melupai hakikat kehidupan yang abadi. Padahal nikmat duniawi ini hanya beberapa bilangan hari, yang beransur pergi bersama usia yang meningkat bagi setiap ketika. Kita tidak menempa derita, tetapi derita boleh membawa bahagia selamanya.
Dengan derita juga insan insaf, membetulkan yang silap, meneruskan saki perjalanan yang ada. Betapa ramai yang menjadi soleh kerana derita yang dilaluinya. Maka, demikianlah Nabi s.a.w minta supaya kita membetulkan sikap dalam menghadapi kerenah hidup. Sabda Nabi s.a.w:
“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin.
Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya” (Riwayat Muslim).

p/s - 
Semoga artikel yang ditulis oleh Dr. Asri ini memberi manfaat buat kita semua. Insyaallah!

3 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by the author.
anie said...

info yang bermanafaat

shah said...

nice blog