Wednesday, February 24, 2010

MASA LALU YANG TERINDAH

Cuti raye Cina telah berlalu, namun meninggalkan kenangan yang manis terutama bila berkunjung ke kampung halaman nenek yang teramat dirindui. Wahh! terlalu pantas masa berlalu, terasa baru semalam aku berlari2 mengelilingi kampung sambil bermain dengan kawan-kawan yang juga saudara dekat. Masih terasa lagi lenguh dikaki menunggang basikal tua atuk menjalari tali air dan sawah padi yang begitu indah. Masih terngiang2 lagi suara nenek yang riuh rendah berpesan agar jangan pergi merayau jauh sangat. Argh! Sungguh indah, kenapa masa terlalu pantas berlalu? Terasa aku ingin menjadi kanak2 kecil yang sentiasa riang dan bermain dengan teman sepermainan yang kini telah membawa haluan masing2. Jika bosan duduk di rumah nenek terutama waktu tengahari aku selalu lepak di rumah nenek saudara yang begitu akrab dan tidak putus-putus melayan karenahku dari kecil sampailah dewasa kini. Argh! terlalu indah. Itulah syurgaku, syurga bagi jiwaku yang sentiasa menyayangi nenek, atuk dan semua saudara-mara yang tinggal di situ.Setiap kali melangkah ke situ terasa berada di planet lain, hilang semua masalah, lenyap segala duka dan nestapa, jiwa terasa bahagia, fikiran terasa lega dan hati terasa girang.

Namun masa telah berlalu, seorang demi seorang nenek dan atuk saudara meninggalkanku. Syurgaku semakin sunyi, aku masih ingat waktu kecilku arwah mok nik dan pok nik iaitu moyang saudaraku berjalan terbongkok-bongkok berdua. Setiap kali melewati di halaman rumah mereka,seringkali mereka memanggil aku agar mengambil buah jambu mawar di depan rumahnya. Argh! masih teringat lagi mereka menjolok buah durian belanda di belakang rumahnya yang menjadi kegemaranku sehingga sekarang. Aku masih ingat saat2 itu.

Arwah Mok Wa ku iaitu moyangku masih terbayang2 di minda. Waktu pagi mesti sudah menghilang ke kebunnya untuk mengutip hasil tanaman untuk dijual di kawasan masjid setiap hari Jumaat. Aku pernah menolong beliau mengutip buah kandis untuk dijadikan asam keping dan kemudiannya dijual. Aku juga pernah menolongnya menyusun daun sireh yang lebat di tanam di hadapan rumahnya. Aku menghormatinya seorang yang berdikari dari muda sehingga menghembus nafas yang terakhir yang mana seorang yang tidak pernah meminta wang daripada anak menantu. Malah meninggalkan tanah dan harta pusaka yang masih diwarisi oleh anak-cucu sehingga kini. Di hari2 akhirnya dia terlantar di bilik usang di rumah nenek matanya sayu merenungku dan kini telah meninggalkanku buat selamanya.

Arwah pokcik yang selalu menegurku setiap kali aku pulang ke kampung dan selalu bercerita kepadaku apa-apa sahaja. Masihku ingat, beliau menjaja ayam mengelilingi kampung dengan menunggang kapcai tua. Entah beberapa kali kapcai tuanya terbabas dan terlantar di rumah akibat kemalangan. Itulah harga yang telah dibayar demi mencari sesuap nasi buat keluarga. Keramahannya masih dirindui sehingga kini. Di akhir hayatnya beliau terbaring lemah di bilik usang menderita sakit tua dan kencing manis. Begitulah lumrah hidup kita mungkin hari ini kita masih sihat dan kuat namun yang pasti kita akhirnya akan menjadi semakin lemah dan tidak berdaya.

Arwah mok yoh adik atukku selalu tersenyum padaku dan menegurku dengan suara yang serak2 basahnya. Rumah usangnya masihku terbayang. Penuh dengan nostalgia dan memori indah. Seakan semalam baru ku berlari-lari sambil kejar mengejar dengan anak cucu beliau yang hampir sebaya denganku. Namun kini mereka semua entah kemana. Bahagianya saat itu, tidak perlu aku memikirkan apa-apa, yang kutahu hanyalah bersuka ria.

Arwah pok teh yang baru sahaja menemui yang Esa pada 31 Disember 2009 yang lepas. Suatu ketika dahulu, kanak-kanak dari serata ceruk kampung datang ke rumah beliau untuk belajar al-quran.Penuh basikal-basikal kecil disepanjang jalan di depan rumahnya. Aku sebenarnya ingin amat teringin sekali ikut serta namun ibuku tidak membenarkannya. Sampai ke hari ini aku tidak tahu apa alasannya. tak apalah mungkin ada hikmah disebaliknya. Di hari akhir hidupnya, dia hanya berehat di rumah dan mengajar mengaji sekadar yang termampu. Pemergian beliau amat dirasai kerana tiada lagi budak-budak kampung yang memeriahkan kawasan kampungku.


Itulah secebis rentetan sebuah memori indah dalam hidupku.Kini semuanya telah berubah mengikut peredaran zaman, tiada lagi kanak-kanak berlari mengelilingi kampung seperti zaman kecilku. Semuanya sunyi dan sepi yang tinggal hanyalah beberapa kerat si tua yang setia menghuni rumah usang. Namun pemandangannya masih begitu indah dengan sawah padi nun menghijau, air di kali masih jernih seperti dahulu, bukit-bukit masih utuh berdiri dan burung-burung masih riang menyanyi menghiburkan jiwaku di waktu pagi dan petang. Argh!! terlalu indah... Aku selalu berangan-angan ingin membina rumah kecil ditengah sawah padi di kampung itu. Alangkah bhhagianya bersiar-siar dengan suami tercinta dan anak tersayang menyusuri kampungku di petang hari menyaksikan burung camar yang riang terbang membelah langit.. Mungkinkah impianku akan terlaksana suatu hari nanti? Hanya Allah penentu segala-galanya.

Thursday, February 18, 2010

TANDA-TANDA KEMATIAN

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan wujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulullah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratul maut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.


Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratul maut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali, cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya, iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut.


Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya. Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT.


Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT. Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :


100 HARI SEBELUM KEMATIAN


Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang tinggal untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.


40 HARI SEBELUM KEMATIAN


Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.


7 HARI SEBELUM KEMATIAN


Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.


3 HARI SEBELUM KEMATIAN


Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

1 HARI SEBELUM KEMATIAN


Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.


SAAT2 AKHIR


Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.


Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.


Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata. Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat. Wallahualam

Wednesday, February 17, 2010

GAPAI IMPIAN

Pada entri kali ini saya cuba berkongsi bagaimana untuk kita menggapai impian.
1. Kita mesti mempunyai keinginan yang menggunung tinggi. Khayalkan impian anda. Tanamkan dalam minda bahawa anda mesti dapat apa yang anda fikirkan.

2. Letakkan gambar(contoh: kereta,rumah,tempat peranginan,segulung ijazah sarjana atau phd) atau tuliskan (contoh: bonus,simpanan,pointer) segala impian anda didalam bilik tidur.Tulis biar jelas, dan kita akan nampak bila bangun dari tidur.

3. Setting matlamat - perlu letakkan tarikh secara berkala bila kita mampu capai semua impian kita. (Contoh : Jun 2010 - Bonus RM10,000 atau tiket melancong atau pointer mesti > 3.5, Disember 2010 - kereta idaman, rumah idaman dan sebagainya.)

4. Lakukan apa yang dirancang dengan disiplin. Insyaallah impian kita pasti tercapai.

Thursday, February 11, 2010

KUBIARKAN

Kubiarkan mereka berbicara
Mengaib diriku
Riuh-rendah mencaci kelemahan diri
Mencampur aduk berita benar juga palsu

Kubiarkan mereka bergelak ketawa
Penuh muslihat nyata dan selindung
Mereka kira aku tidak ketahui
Mereka anggap aku tidak dengarinya

Kubiarkan mereka merenung sinis
Penuh penghinaan dan kejahatan
Seolah mereka insan yang terlalu mulia
Suci dari sebarang dosa dan noda

Kubiarkan mereka menghina
Andai itu membuat mereka mulia
Atau ukhwah semakin erat dan
Nama semakin hebat

Kubiarkan mereka mengadu-domba
Andai itu memuaskan nafsu mereka
Mengisi jiwa mereka yang kian kosong
Atau sebagai penghibur diri mereka dikala sunyi

Kubiarkan segala tohmahan dan penghinaan itu
Berlalu pergi bersama tangisan hati di dada malam
Luput di dalam sujud kepada Ilahi
Tenggelam di dalam kegelapan 2/3 malam

Kubiarkan apa jua pandangan orang
Kerana ku tak berdaya melawan semuanya
Ku hanya mampu berserah kepadaNya
Ku hanya mengharap perlindunganNya

Kubiarkan segalanya berlalu pergi
Ku lemparkan jauh ke lubuk berduri
Tak mungkin dapat dimaafi
Kerana hati remuk dicalari

Kubiarkan segala kisah semalam
Tersusun dalam lipatan ingatan
Kujadikan ia sebagai pengajaran dan iktibar
Agar diri semakin matang menempuh kehidupan

Kubiarkan kenangan itu kabur dari ingatan kerana
Ku yakin semua yang berlaku penuh hikmah dan bererti
Sejarah tak mungkin diulangi kerana hati telah temui
Cinta yang suci murni penuh ketulusan dari sanubari
Syukur kepada Ilahi di atas segala yang dilalui

Tuesday, February 9, 2010

AKU SEEKOR IKAN JEPUN

Pagi2 sampai ofis terus jea dapat email dari suami yg tercinta mengenai kisah seekor ikan. Jom kita layan alkisahnya..

Mungkin tuan sudah tahu dan pernah dengar kisah ini. Tapi tidak mengapalah, jika dah tahu, anggaplah ia sebagai ulangkaji.

Orang-orang di Jepun sememangnya amat gemarkan ikan yang segar. Namun begitu, kawasan penangkapan yang berhampiran pantai agak kekurangan ikan. Perkara ini telah memaksa, nelayan-nelayan di jepun untuk pergi lebih jauh lagi ke kawasan perairan pantai dalam untuk menangkap ikan. Semakin jauh mereka pergi, semakin lamalah masa yang perlu diambil untuk mereka pulang membawa hasil tangkapan mereka.

Disebabkan tempoh pulang yang lama itu, ia telah menyebabkan ikan-ikan yang ditangkap, menjadi kurang segar apabila sampai di pelabuhan. Dan rakyat jepun, tidak sukakan rasa ikan-ikan tersebut.

Untuk mengatasi masalah ini, nelayan-nelayan jepun telah mengambil langkah drastik dengan memasang peti sejuk beku di dalam bot mereka. Dengan itu, semua hasil tangkapan yang diperolehi akan terus disejukbekukan sewaktu di tengah laut lagi. Kaedah ini, telah membolehkan nelayan-nelayan jepun untuk pergi lebih jauh, dan tinggal lebih lama lagi di laut. Namun begitu, citarasa rakyat jepun sememangnya agak cerewet, mereka dapat merasakan perbezaan antara rasa ikan segar dengan ikan yang telah disejuk-bekukan, dan mereka, tidak sukakan rasa tersebut.

Bagi memenuhi permintaan ramai rakyat jepun yang inginkan ikan segar, maka, nelayan-nelayan di jepun pun menukarkan peti beku yang terdapat di dalam bot mereka dengan tangki yang berisi air pula. Dengan itu, semua ikan yang ditangkap tidak lagi akan disejuk bekukan, tetapi ia akan dimasukkan ke dalam tangki air tersebut agar ikan tersebut dapat terus berenang dan hidup apabila sampai ke pelabuhan.

Namun begitu, disebabkan tangki simpanan yang kecil maka, ikan-ikan tersebut tidak dapat bergerak bebas dan sering berlanggar dengan ikan-ikan yang lain, ini menyebabkan ikan-ikan tersebut penat dan akhirnya, mereka berhenti bergerak. Apabila sampai di pelabuhan, ikan-ikan tersebut masih hidup, tetapi ia sudah tidak bergerak selama beberapa hari. Dan rasa ikan ini, tetap kurang enak dan rakyat jepun tidak gemarkannya. (Fuh.. cerewet betul rakyat jepun nie)

Jadi? Apa lagi yang perlu dilakukan oleh syarikat-syarikat nelayan di jepun ini untuk memastikan ikan-ikan yang ditangkap sentiasa segar apabila sampai di pelabuhan? Jika anda dilantik sebagai "consultant" kepada industri perikanan di jepun ini, apakah yang akan anda cadangkan?

Tuan nak tahu apa yang mereka lakukan seterusnya?

Mereka masih lagi mengekalkan tangki air tersebut di dalam bot mereka, cuma pada kali ini, mereka letakkan seekor ikan jerung kecil di dalam setiap tangki tersebut.

Dan Tuan nak tahu apa berlaku?

Ikan jerung kecil tersebut telah membaham ikan-ikan yang lemah, tetapi, ia tidak banyak, hanya sedikit sahaja, manakala ikan-ikan yang selebihnya selamat kerana mereka akan terus bergerak dan cuba melarikan diri dari ikan jerung tersebut. Ini adalah antara soal hidup dan mati beb!. Hasilnya, apabila sampai di pelabuhan, semua ikan-ikan tersebut masih lagi hidup, masih bergerak dan ini membuatkan ikan-ikan tersebut terus segar.

==================
Pengajarannya
==================

Kita perlukan "jerung" di dalam hidup kita untuk menjadikan hidup kita lebih "hidup" , "segar" dan "enak". Jerung di dalam kehidupan bolehlah di umpamakan seperti cabaran2 serta tekanan2 yang wujud dalam kehidupan kita. Tanpa sebarang cabaran atau tekanan, hidup kita akan menjadi "bosan" dan "biasa-biasa" sahaja.
Jadi, usah gentar dengan segala cabaran & tekanan yang dihadapi dalam kehidupan ini, ia sebenarnya akan membuatkan tuan lebih bertenaga dan lebih berjaya. Yossh!

Monday, February 8, 2010

BAHAYA KATA

Setiap peristiwa yang berlaku dalam hidup kita sebenarnya banyak berpunca daripada kata2 dan niat di dalam hati kita. Percaya atau tidak?

Sesetengah daripada kita terlupa bahawa setiap kata2 yang baik dan buruk yang keluar daripada bibir adalah suatu DOA yang mujarab. Saya amat begitu yakin bahawa keluarga yang berjaya lahir daripada sikap ibubapa yang beriman dan sentiasa merendah diri.

Saya mempunyai beberapa buah keluarga terdekat yang boleh dijadikan sebagai role-model. salah sebuah keluarga ni dikatakan agak hebat kerana kesemua anak2 beliau menjadi orang2 yang sangat berjaya. Hampir kesemua anak beliau lulusan universiti yang mempunyai ijazah, sarjana dan phd. Anak beliau yang hampir 10 orang terdiri daripada beberapa orang pensyarah universiti, guru, hakim dan lain2 lagi. Saya perhatikan ibubapanya orang yang kuat beriman, ibunya hanya sentiasa tersenyum dan merendah diri. Bukan seorang yang kuat mengata, menyibuk tepi kain, menyampaikan berita2 sensasi dan jauh sekali menabur fitnah.

Saya yakin Allah akan memilih orang yang hebat untuk memberi ganjaran yang hebat. Bukannya hebat pada pandangan manusia namun hebat pada pandangan Allah. Saya yakin doa yang tidak putus2 dan sentiasa mencari keredhaan Allah adalah kunci utama kejayaan beliau.

Sebaliknya, saya juga perhatikan ada sebuah keluarga yang mana ibunya seorang yang suka mengata, menyibuk hal orang, gemar bergosip dan menyebarkan fitnah sedangkan suaminya seorang yang educated. Saya lihat anak2nya kurang berjaya, kalau ada pun mempunyai kelulusan hanya setakat diploma. Keluarga beliau pun porak peranda mungkin disebabkan sikap ibu beliau yang suka bersorak dan menjadi batu api tatkala orang lain menghadapi masalah. Nauzubillah.

Saya jadikan kisah2 ini sebagai iktibar. pilih yang mana satu arah hidup kita. sikap kita hari ini menentukan hari esok. Kata2 kita hari adalah doa untuk hari esok. Niat kita pada hari ini adalah gambaran hari esok. Mungkin pahit untuk membuang segala tabiat buruk diri pada hari ini, namun kemanisannya pada esok hari akan berkekalan hingga ke syurga..Insyaallah

INVESTMENT OH INVESTMENT

Cuti dua hari yang lepas banyak peristiwa yang berlaku. Antaranya kami turun ke Megan Avenue II bagi mencuba nasib membida rumah. walaupun niat hanya sekadar suka-suka namun tempias akibat kekalahan membida sedikit sebanyak menjejaskan mood suami tercinta sepanjang hari. Kesian betul walaupun kami tak begitu berharap untuk menang. So, saya cuba memujuk beliau " kan abang dah solat hajat malam tadi mohon AllAH berikan yang terbaik sahaja. Mungkin ada hikmah disebaliknya kita tak dapat rumah tu", dia hanya mengangguk dan memandang kosong ke syiling. Jauh di sudut hati kuberdoa semoga Allah berikan kami rezeki yang berkat dan melimpah-ruah suatu masa nanti.

Hari selepasnya saya bersama rakan turun ke Mentakab dan ke Kuantan atas urusan bisnes. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Mentakab memakan masa 1 jam 30 minit. Selesai urusan disana, kami meneruskan perjalanan ke Kuantan pula. Di sana saya sempat juga meninjau harga-harga rumah, mana tahu kot2 sesuai untuk dibuat flipping. Hmm.. susahnya nak buat keputusan untuk beli rumah. Banyak research kena buat sebelum kata yes.. huhuhu.. saya selalu pesan pada diri sendiri investment yang melibatkan ratusan ribu ringgit perlu buat calculation betul2 sebelum tindakan diambil. Once dah tersilap, kita akan tanggung negative cashflow ataupun flipping jadi sleeping.. nauzubillah.

Balik dari kuantan semalam sampai jea di rumah dalam pukul 12 malam. walaupun penat, tapi hati terasa teruja kerana saya yakin setiap pengorbanan yang kita lakukan pasti Allah akan bayar balik. Insyaallah.. Syukur pada Allah kerana murahkan rezekiku dan permudahkan perjalanan kami sepanjang 2 hari.

Thursday, February 4, 2010

SANDARAN JIWA

Setiap kali duk di pejabat mesti terbayang wajah anak. Rindu akan gelak tawa yang manja yang kadang2 mengada. Bila balik rumah dia terus mintak dukung trus... adus! dah la berat. sekejap pun dah penat... "Abu...gi, gi,gi.." sambil tangan tunjuk ke arah pintu. (kekadang terasa geram jea cos kita penat ni balik keje tapi dia suruh kita bawa dia pegi jalan2 plak..) Tapi ia sangat kelakar sebab baru 1 tahun 3 bulan dah banyak words dia dapat... tu yang pandai mintak macam2... hahaha..

Bila abah dia balik je trus nak pergi kat abah, dah tak heran langsung dah kat ibu dia.. kecuali mase lapar jea.. (Yea laa anak abah la katakan..) Abah adalah segala2nya.. muka pun sebijik macam abah. Muka ibu takde langsung... hahaha.. Mungkin nak kena ada sorang lagi kot.. haahaha.. Oops! kena pikir dulu..

Bila bekerja ni tengok wajah anak rasa sayu jea. Kalau ikutkan hati rasa nak jea berhenti kerja . Kesian tengok anak, hari dah gelap baru jumpa kita. Suami plak kadang2 balik nak makan sedap2 tapi tak sempat nak masak yang special.. Alhamdulillah dapat suami yang bertolak ansur, pemaaf dan penyayang. Tapi kalau tak kerja kesian plak kat suami kena tanggung semua perbelanjaan.. Harap sangat Allah bukakan jutaan pintu rezeki agar dapat meluangkan masa yang banyak untuk bersama keluarga setiap hari. Amin.

Insyaallah...

MENITI PERJALANAN

Buku Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok yang dikarangkan oleh Prof Muhd Kamil cukup menyentuh jiwa dan hati nuraniku. Perasaan saya jauh melayang berfikir sejenak betapa Allah s.w.t itu tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hambanya. Walaupun setinggi gunung dan seluas lautan dosa kita pada Nya, selagi kita tidak mensyirikkan Nya, nescaya keampunan Allah adalah seluas langit dan bumi.

Fikiran saya menerawang jauh mengenang kesilapan dan kealpaan semalam. Betapa saya insan yang penuh kehinaan, kejahilan dan kealpaan. Siapalah diri ini pada pandanganMu ya Allah. Buku tersebut banyak memberikan kesedaran kepada saya tentang erti hidup. Hidayah Allah hadir pada sesiapa yang dikehendakiNya tidak kira siapa diri kita di mata masyarakat.

Saya juga sedari sukarnya untuk mengikhlaskan diri sepenuhnya mengadapMu ya rabbi. Saya menyangka selama ni keikhlasanku sudah memadai namun sebenarnya ia hanyalah secebis daripada keikhlasan yang hakiki. Prof Muhd Kamil memberi inspirasi untuk mencorak sifat kehambaan yang tulus ikhlas kepada Allah. Bertapa sukar sebenarnya untuk kita membersihkan hati dan nurani daripada segala sifat riak, sombong dan takkabur. Sedetik perasaan riak yang timbul dalam diri mampu menghapuskan segala amalan kita padaNya . Nauzubillah.

Saya mengkagumi beliau yang sentiasa berusaha untuk berdakwah dengan caranya yang tersendiri. Walaupun nampak kecil namun penuh dengan signifikan. Saya percaya langkah beliau pasti akan menghasilkan impak yang besar suatu hari nanti. Ia juga sedikit sebanyak memberi ilham kepadaku untuk berdakwah kepada diri, rakan dan pelajar dalam konteks aku sendiri.
nsyaallah. Syabas buat Prof Muhd Kamil..
(Orang kampungku... hehehehe...maaf ye Prof. tumpang glamor..)