Wednesday, February 24, 2010

MASA LALU YANG TERINDAH

Cuti raye Cina telah berlalu, namun meninggalkan kenangan yang manis terutama bila berkunjung ke kampung halaman nenek yang teramat dirindui. Wahh! terlalu pantas masa berlalu, terasa baru semalam aku berlari2 mengelilingi kampung sambil bermain dengan kawan-kawan yang juga saudara dekat. Masih terasa lagi lenguh dikaki menunggang basikal tua atuk menjalari tali air dan sawah padi yang begitu indah. Masih terngiang2 lagi suara nenek yang riuh rendah berpesan agar jangan pergi merayau jauh sangat. Argh! Sungguh indah, kenapa masa terlalu pantas berlalu? Terasa aku ingin menjadi kanak2 kecil yang sentiasa riang dan bermain dengan teman sepermainan yang kini telah membawa haluan masing2. Jika bosan duduk di rumah nenek terutama waktu tengahari aku selalu lepak di rumah nenek saudara yang begitu akrab dan tidak putus-putus melayan karenahku dari kecil sampailah dewasa kini. Argh! terlalu indah. Itulah syurgaku, syurga bagi jiwaku yang sentiasa menyayangi nenek, atuk dan semua saudara-mara yang tinggal di situ.Setiap kali melangkah ke situ terasa berada di planet lain, hilang semua masalah, lenyap segala duka dan nestapa, jiwa terasa bahagia, fikiran terasa lega dan hati terasa girang.

Namun masa telah berlalu, seorang demi seorang nenek dan atuk saudara meninggalkanku. Syurgaku semakin sunyi, aku masih ingat waktu kecilku arwah mok nik dan pok nik iaitu moyang saudaraku berjalan terbongkok-bongkok berdua. Setiap kali melewati di halaman rumah mereka,seringkali mereka memanggil aku agar mengambil buah jambu mawar di depan rumahnya. Argh! masih teringat lagi mereka menjolok buah durian belanda di belakang rumahnya yang menjadi kegemaranku sehingga sekarang. Aku masih ingat saat2 itu.

Arwah Mok Wa ku iaitu moyangku masih terbayang2 di minda. Waktu pagi mesti sudah menghilang ke kebunnya untuk mengutip hasil tanaman untuk dijual di kawasan masjid setiap hari Jumaat. Aku pernah menolong beliau mengutip buah kandis untuk dijadikan asam keping dan kemudiannya dijual. Aku juga pernah menolongnya menyusun daun sireh yang lebat di tanam di hadapan rumahnya. Aku menghormatinya seorang yang berdikari dari muda sehingga menghembus nafas yang terakhir yang mana seorang yang tidak pernah meminta wang daripada anak menantu. Malah meninggalkan tanah dan harta pusaka yang masih diwarisi oleh anak-cucu sehingga kini. Di hari2 akhirnya dia terlantar di bilik usang di rumah nenek matanya sayu merenungku dan kini telah meninggalkanku buat selamanya.

Arwah pokcik yang selalu menegurku setiap kali aku pulang ke kampung dan selalu bercerita kepadaku apa-apa sahaja. Masihku ingat, beliau menjaja ayam mengelilingi kampung dengan menunggang kapcai tua. Entah beberapa kali kapcai tuanya terbabas dan terlantar di rumah akibat kemalangan. Itulah harga yang telah dibayar demi mencari sesuap nasi buat keluarga. Keramahannya masih dirindui sehingga kini. Di akhir hayatnya beliau terbaring lemah di bilik usang menderita sakit tua dan kencing manis. Begitulah lumrah hidup kita mungkin hari ini kita masih sihat dan kuat namun yang pasti kita akhirnya akan menjadi semakin lemah dan tidak berdaya.

Arwah mok yoh adik atukku selalu tersenyum padaku dan menegurku dengan suara yang serak2 basahnya. Rumah usangnya masihku terbayang. Penuh dengan nostalgia dan memori indah. Seakan semalam baru ku berlari-lari sambil kejar mengejar dengan anak cucu beliau yang hampir sebaya denganku. Namun kini mereka semua entah kemana. Bahagianya saat itu, tidak perlu aku memikirkan apa-apa, yang kutahu hanyalah bersuka ria.

Arwah pok teh yang baru sahaja menemui yang Esa pada 31 Disember 2009 yang lepas. Suatu ketika dahulu, kanak-kanak dari serata ceruk kampung datang ke rumah beliau untuk belajar al-quran.Penuh basikal-basikal kecil disepanjang jalan di depan rumahnya. Aku sebenarnya ingin amat teringin sekali ikut serta namun ibuku tidak membenarkannya. Sampai ke hari ini aku tidak tahu apa alasannya. tak apalah mungkin ada hikmah disebaliknya. Di hari akhir hidupnya, dia hanya berehat di rumah dan mengajar mengaji sekadar yang termampu. Pemergian beliau amat dirasai kerana tiada lagi budak-budak kampung yang memeriahkan kawasan kampungku.


Itulah secebis rentetan sebuah memori indah dalam hidupku.Kini semuanya telah berubah mengikut peredaran zaman, tiada lagi kanak-kanak berlari mengelilingi kampung seperti zaman kecilku. Semuanya sunyi dan sepi yang tinggal hanyalah beberapa kerat si tua yang setia menghuni rumah usang. Namun pemandangannya masih begitu indah dengan sawah padi nun menghijau, air di kali masih jernih seperti dahulu, bukit-bukit masih utuh berdiri dan burung-burung masih riang menyanyi menghiburkan jiwaku di waktu pagi dan petang. Argh!! terlalu indah... Aku selalu berangan-angan ingin membina rumah kecil ditengah sawah padi di kampung itu. Alangkah bhhagianya bersiar-siar dengan suami tercinta dan anak tersayang menyusuri kampungku di petang hari menyaksikan burung camar yang riang terbang membelah langit.. Mungkinkah impianku akan terlaksana suatu hari nanti? Hanya Allah penentu segala-galanya.

No comments: