Saturday, January 28, 2012

Nasihat daripada Jutawan Borong

Ya! saya seorang yang gemar membaca blog, buku, majalah atau apa saja bahan yang berinformasi. Salah satu blog kegemaran saya ialah blog usahawan terkenal iaitu  Shahabudeen Jalil . Beliau merupakan usahawan yang suka berkongsi rahsia bagaimana untuk menjadi orang yang hebat dan berjaya. Di sini ada beberapa tips yang cukup menarik dikirim oleh beliau kepada pembaca blognya. Saya amat teruja untuk berkongsi dengan pembaca kesayangan saya semua :


Hi Fifahnazri,
 
Email hari ini bukan untuk semua.
Malah, saya rasa email ini tidak akan bermanfaat untuk
mereka yang membacanya, jika tiada tindakan atau inisiatif
untuk mula memajukan diri.
 
Ia hanya akan bermanfaat untuk mereka yang serious untuk
membangunkan diri dalam bidang keusahawanan dan keluar
dari zon selesa.
 
Ini 10 Perkara Penting Jika Anda Ingin Berjaya Dalam
Perniagaan. Saya tulis berdasarkan pengalaman saya sendiri
selama hampir 6 tahun melalui kejayaan dan kegagalan dalam
dunia perniagaan.
 
Ikutinya:
 
1) Buang perasaan takut untuk memulakan perniagaan!
 
Ketakutan-dalam-minda-adalah-lebih-besar-daripada-realiti
 
(Ya! saya memang jenis yang penakut dan cepat berputus asa.)

2) Ubah cara pemikiran anda.
 
Mengubah-ekonomi-masyarakat-dengan-kisah-dongeng-rakyat/ 
 
3) Ubah sistem kepercayaan anda.
 
Pengaruh-pemikiran-dalam-perniagaan.
 
4) Mulakan dengan sasaran yang kecil.
 
Kenapa-perlu-mencapai-objektif-yang-kecil.

(Err.. saya asyik berfikir untuk mencapai objektif yang besar terus. )
 
5) Buat sasaran yang realistik, bukan yang 'unrealistic'.
 
Sasar-sasaran-yang-boleh-di-capai.

(Hmm... ape yea?)

6) Jangan banyak memberi alasan untuk tidak bermula.
 
Alasan-untuk-tidak-memulakan-perniagaan.

(Banyak betul halangan yang dijadikan alasan untuk memulakan sesuatu bisnes.)
 
7) Jangan terlalu merancang, lakukan sahaja!
 
Jangan-buang-masa-dengan-terlalu-merancang.

(saya banyak merancang tapi tak buat pun.. hehehe)
 
8) Fokus! 
 
bagaimana-untuk-tidak-hilang-fokus..
 

9) Anda tak perlu belajar dari kegagalan.
 
Bagaimana-untuk-tidak-gagal-dalam-semua-yang-anda-lakukan..

(Ni yang perlu berhati-hati takut gagal.. )


10) Teruskan usaha dan jangan pernah mengalah!
 
Bosan-dengan-perniagaan-sedia-ada.



Harapan (tinggi) saya semoga anda akan maju dalam bidang yang
anda ceburi. Apabila anda berjaya, orang pertama yang gembira
pastilah saya. :)
 
 
Ikhlas,
 
Shahabudeen Jalil



Hmm.. memang hebat tips yang diberikan oleh beliau. Jika anda ingin mengetahui ulasan yang lebih mendalam sila lawati blog beliau sendiri yea. Bye! Bye!

Tuesday, January 24, 2012

Bina budaya keluarga cintakan al-Quran


Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

2012/01/23

ANTARA ciri mukmin yang beruntung di dunia dan di akhirat ialah orang mempelajari al-Quran dan aktif membacanya. Kadar keberuntungannya akan berlimpah kali ganda seandainya si penuntut dan pembaca al-Quran bergiat cergas menggali inti pati maknanya serta mengamalkannya. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Jadi, berdasarkan apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW itu, kita sewajarnya mentransformasikan hati supaya sentiasa rindu untuk mempelajari serta membacanya.
Jika selama ini kita sudah terbiasa dengan amalan wajib membaca akhbar setiap pagi, apa salahnya kita jadikan membaca al-Quran pula sebagai amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Bina satu slogan peribadi, ‘Tak Sempurna Hari Tanpa Membaca Al-Quran’. Tampal dalam rumah supaya kita dan seluruh ahli keluarga dapat menatapnya setiap masa. 

Keuntungan seseorang pembaca al-Quran ketika di akhirat kerana dijamin akan diberikan syafaat ketika kita sangat-sangat memerlukan pertolongan ketika berhimpun di padang Mahsyar nanti. 

Rasulullah SAW ada menyebut akan hal ini dalam sabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran. Kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Seperkara lagi yang harus kita sedari bahawa amalan membaca al-Quran adalah metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati. Dalam meniti arus kehidupan, fikiran dan jiwa sentiasa diselubungi pelbagai emosi. 
Justeru, bagi mukmin yang menjadikan al-Quran sebagai teman rapatnya, perasaan berkecamuk itu pasti akan terungkai apabila membaca al-Quran. 

Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperoleh ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan nama mereka disebut Allah dalam kalangan malaikat.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud) 

Berdasarkan apa dikemukakan Rasulullah SAW itu, nyatalah seseorang mukmin yang selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong dalam kalangan mukmin yang dicintai Allah. 

Malah, Rasulullah SAW mengiktiraf amalan membaca al-Quran sebagai amalan ibadah terbaik untuk umatnya. Kata Rasulullah SAW: “Yang paling utama dari ibadah umatku adalah membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) 

Membina keluarga budaya mempelajari dan membaca al-Quran perlu diutamakan kerana itulah acuan sebuah keluarga bahagia yang sentiasa dipayungi rahmat Allah. Anak membesar dalam ruang lingkup emosi berpaksikan cahaya al-Quran akan muncul sebagai anak salih dengan jiwa kebal. 

Membentuk jiwa anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa. Jangan biarkan jiwa kita dan anak ketandusan keberkatan al-Quran kerana kesannya amat buruk. 

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.” (Hadis at-Tirmidzi, Ahmad , Hakim dan al-Darimi) 

Mempelajari dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa sekali gus mengukuhkan akar iman serta takwa seseorang. 

Kesungguhan kita mendidik hati serta keluarga dalam aspek mempelajari dan membaca al-Quran akan menjadi suatu usaha jihad yang menjanjikan pahala di sisi Allah. Inilah rumah tangga yang berspektrumkan keharuman cahaya kerahmatan Allah. 

Baca dan renunglah dengan bersungguh peringatan Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda, Abu Dzar, katanya: “Wahai Abu Dzar, kamu pergi untuk mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik daripada kamu solat seratus rakaat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) 

Justeru, dari sini dapatlah kita mengerti betapa hebatnya amalan mempelajari dan membaca al-Quran sehingga pesanan berbuat demikian sentiasa saja diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda. 


sumber : berita harian

Monday, January 16, 2012

KEMBALI BERTUGAS

Alhamdulillah setelah hampir 3 bulan saya cuti bersalin, hari ini 16 Januari 2012 saya kembali bertugas. Cabaran dan dugaan sebagai seorang guru di IKMKL akan bermula. Saya benar-benar berharap Allah s.w.t akan permudahkan segala urusan. Hari ini juga merupakan hari pertama buat si kecil Qaisara di rumah pengasuh. Risau juga takut Qaisara meragam kerana belum biasa minum susu menggunakan botol. Harap pengasuh dapat menjaganya dengan baik-baik. 

Tahun 2012 merupakan permulaan yang "segar" bagi saya.  Tugasan demi tugasan sudah mula terbayang. Siapkan PNP, pemantauan MQA, tugasan pelajar dan pelbagai lagi harus disiapkan. Doa saya harap dipermudahkan dan dijauhkan dari dizalimi. Azam utama tahun baru pastinya menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Kerjaya, kewangan mahupun keluarga pastinya memerlukan target tertentu untuk dicapai. Harap segala impian akan tercapai.

30. Itulah angka yang agak ditakuti. Ya, tahun ini usia saya memasuki 30 tahun. Kedengaran diri sudah tua sedikit.  Walaupun jiwa sebenarnya masih muda remaja seperti umur 20 tahun dahulu. (hehehe.. ) Semasa saya remaja dahulu saya beranggapan orang yang berusia 30 ini sudah matang, sangat dewasa dan penuh dengan pengalaman hidup. Namun saya sedari anggapan saya itu salah.  Kematangan tidak bergantung kepada usia. Kematangan sebenarnya bergantung kepada hidayah Allah. Hidayah Allah sebenarnya membuat diri kita matang tahu bezakan yang benar dan salah. 

Umur 30 tahun adalah titik sempadan kepada beberapa impian saya semasa zaman remaja dahulu. Antaranya ialah berkahwin. Ya, target saya ingin berkahwin pada umur 25 tahun atau sekurang-kurangnya sebelum 30. Alhamdulillah! ia tercapai juga tepat pada umur 25 tahun. :) . Impian  saya yang seterusnya ialah menunaikan haji atau sekurang-kurangnya menunaikan umrah ke Mekah sebelum atau pada umur 30. Ia masih belum tercapai dan saya masih berkira-kira wang simpanan yang belum mencukupi itu. Terakhir sekali ialah menyambung pelajaran ke peringkat Master (sebelum atau pada umur 30) juga masih belum terlaksana kerana kursus yang dipohon asyik ditolak. Hmm.. agak kecewa juga. Namun saya masih berharap semua impian akan terlaksana juga suatu masa nanti. Insyallah!!

p/s - Jom bina impian @ target sebelum umur 40, 50 dan pencen plak.

Thursday, January 12, 2012

Bersih hati kunci utama suburkan nilai murni dalam jiwa


Oleh Shuhairimi Abdullah 

2012/01/12


UMUMNYA, pelbagai pendekatan boleh diaplikasikan untuk membudayakan nilai murni secara teratur dan terancang. Contohnya, penerapan nilai murni boleh dilaksanakan melalui jalan kerohanian pendekatan tasauf.



Al-Suhrawardi (1145-1234) dalam karyanya ‘Awarif al-Ma’arif, menukilkan maksud tasauf sebagai individu sentiasa dalam usaha pembersihan (al-Tasfiyah). Ia sentiasa memelihara setiap waktu daripada kekotoran iaitu dengan membersihkan hati daripada kekotoran hawa nafsu.




Individu itu sentiasa memelihara diri daripada terikat dengan kepatuhan mutlak kepada Allah SWT dan melaksanakan sunnah. Melalui kaedah pentarbiahan latihan kerohanian itu, dapat memberi gambaran secara praktikal untuk merawat penyakit batin yang tidak dapat didiagnosa oleh manusia iaitu penyakit hati yang cenderung kepada sifat tercela.

Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan menjaga hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu. (Surah al-Taubah, ayat 112)

Oleh demikian, kaedah itu memberi petunjuk kepada individu untuk menjernihkan hati daripada semua sifat yang tidak sempurna. Penyucian jiwa itu bertujuan mendidik hati individu terbabit untuk mencapai darjat kesempurnaan iman dan akhlak. 



Penegasan itu disentuh oleh Ibn ‘Abidin dalam penulisannya ‘Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala al-Dur Mukhtar Ibn ‘Abidin’ dengan memberikan ulasan: “... dan sifat kerosakan jiwa lainnya seperti ilmu mengenai sombong, kedekut, dengki, putar belit, marah permusuhan, kebencian, tamak, bakhil, sombong, takbur, khianat, bermuka-muka, menolak kebenaran, tipu muslihat, keras hati, panjang angan-angan, dan lain-lainnya yang telah dijelaskan dalam seperempat kebinasaan sebagaimana terdapat dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din. 



Imam al-Ghazali (1058-1011) berkata: Seseorang itu janganlah melalaikan hal itu, seharusnya ia mempelajari dari rab ‘al-muhlikat apa yang diperlukan dirinya. Sedangkan menghilangkan semua itu adalah fardu ain. Hal itu tidak dapat dilakukan melainkan harus mengetahui batasan, faktor, tanda, dan upaya penyembuhkannya, kerana orang yang tidak mengetahui keburukan akan terjebak di dalamnya.”



Berpandukan ulasan itu, dapat difahami bahawa kesucian dan ketenangan hati daripada nilai keji yang boleh mencacatkannya adalah kunci keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat. 
Antara kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyuburkan nilai murni dalam diri individu melalui pendekatan disiplin amalan sunat seperti zikir, qiamulail, puasa sunat, solat sunat (taubat, duha, rawatib, tahajud) serta amalan yang boleh mendekatkan jiwa manusia dengan Penciptanya.



Amalan dinyatakan itu sebahagian mekanisme bertujuan mendidik dan membersihkan hati daripada pelbagai kotoran nilai keji (mazmumah). Keterikatan hati manusia dengan nilai keji itu didorong nafsu syahwat boleh mengundang kepada kerosakan potensi insan dan hubungannya dengan Allah SWT. 



Menginsafi situasi itu, Islam memberi petunjuk kepada manusia supaya sentiasa memberi komitmen tinggi kepada cara hidup beragama secara sempurna. Justeru, andai kata jiwa manusia dilingkari nilai keji maka ia perlu berusaha memperbaiki dan menyucikannya. 



Jika nilai itu tidak dapat diatasi, nescaya sistem pertahanan dalamannya tidak mempunyai keupayaan untuk menahannya daripada tergelincir ke lembah kejahatan. Melalui latihan berorientasikan nilai kerohanian, manusia dapat menginsafi dan memenuhi keperluan kerangka nilai murni yang luhur.



Firman Allah yang bermaksud: “Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan menjaga hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu.” (Surah al-Taubah, ayat 112) 



Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat itu adalah pujian daripada Allah SWT terhadap hambaNya yang berkorban jiwa dan hartanya kepada Allah. Sebagai balasan, golongan ini disediakan dengan syurga. 



Mereka ini disifatkan sebagai orang yang bertaubat, beribadah kepada Allah dengan perkataan dan perbuatan memujiNya, berpuasa, melakukan solat, dengan rukuk dan sujud. Di samping itu, mereka menyeru manusia lain ke jalan yang baik dan melaksanakan amal makruf nahi mungkar.



Lantaran itu, Allah SWT menyatakan bahawa bergembiralah golongan manusia yang bersifat sedemikian. 



Daripada Abu Hurairah katanya, Nabi SAW bersabda: “Allah berfirman: Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila ia menyebut Aku dalam hatinya, nescaya Aku menyebutnya pula sendiriKu. Dan kalau dia menyebutKu di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang ramai yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, nescaya aku mendekatkan kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang kepadaKu berjalan biasa, nescaya Aku datang kepadanya berlari.” (Hadis Muttafaq’alayh) 



Berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah, dapat difahami bahawa manusia yang dilengkapi nilai murni menurut kerangka Islam akan menjadi insan baik hati budinya dan diredai Allah SWT. Tidak diragukan lagi bahawa nilai murni dihayati individu manusia akan memantulkan cahaya kebaikan dan kebajikan yang memberi manfaat kepada persekitaran sekelilingnya. 


sumber : KLIK SINI