18 Jun 2013 tarikh yang amat bermakna dalam hidup. Tepat jam 6.35 petang aku selamat melahirkan seorang puteri seberat 3.98 kg di Hospital Ampang. Alhamdulillah berbanyak kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah s.w.t yang telah memberi segala nikmat kepada hambaNya yang terlalu hina ini.
Usai solat Subuh pada pagi itu minor contraction mula dirasai. Dalam hati mungkin hari ini kot aku akan bersalin kerana malam tadi perutku sudah terasa sakit yang lain dari biasa. En. Nazri sudah membuka pintu rumah untuk ke pejabat, cepat-cepat jea bagitau "abang masuk ofis lewat skit boleh tak saya dah rase sakit nak bersalin ni". Jadi en. suami tak jadi pergi ke pejabat hari tu.
Sakit yang konsisten setiap 10 minit mula dirasai daripada pagi hingga tengahari. Sempat lagi aku mengemaskini blog dan menyiarkan entry yang telah ditulis pada hari sebelumnya. Hee.. aku tak nak ke hospital selagi sakit yang kuat belum dirasai. Maklumlah anak yang ketiga ni rasenye dah boleh agak skit-skit time untuk bersalin. Jam 2 petang tanda bersalin telah keluar dan sakit makin kuat mula terasa. (Berdebar-debar babe nak bersalin nih.. uuhhu!) Lepas solat zuhur kami bersiap ke hospital Ampang. Aku sujud lame-lame skit semasa solat Zuhur tu mohon Allah ringankan beban bersalin.
Jam 4.30 petang saya dimasukkan ke dewan bersalin di hospital Ampang kerana jalan telah terbuka 5cm. Suami dibenarkan berada disisi dari awal-awal lagi sebaik aku masuk kat dewan bersalin. Sebenarnya kite yang mintak. Kejap-kejap tanye nurse "bila boleh suami saya masuk nurse?". Rasenya ada 3 kali kot aku request. Buat-buat macam bersalin kat private hospital jea.. hahaa..oleh kerana dia dah bosan dengar permintaanku itu cecepat jea dia panggil en. Suami. Sakit semakin kuat menjelang jam 6 petang. Aku disuruh menyedut gas untuk mengurangkan rasa sakit. Hampir jam 6.25 petang aku diserang sakit yang terlalu kuat sehigga aku tersedut gas yang banyak. Saat itulah terjadi perkara yang aneh dalam hidup. Memang suspen macam novel 9 nyawa karya Ramlee Awang Murshid.
Selepas tersedut gas aku tidak sedar apa yang berlaku disekeliling di alam nyata. Apa yang ku nampak para jururawat, doktor pelatih dan doktor mengelilingi aku dikatil itu. Suami berada disebelah kiri. Mesin yang mengesan jantung baby berbunyi lemah. Mereka kelihatan panik dan cemas ketika itu seolah-olah aku tidak sedarkan diri. Mereka cuba menggoncangkan tubuhku dan memanggil nama " Puan Afifah, Puan Afifah". Aku nampak riak muka suami terlalu panik dan memanggilku dengan panggilan yang cemas "Fah bangun!" Berulang-ulang kali. Dia menggocangkan tubuh dengan kuat dan berharap aku akan bertindak balas.
Semua yang mengelilingiku mukenya suspen sungguh macam aku ni dah nak mati. Mereka terus menggoncangkan tubuh dan memanggil-manggil namaku berulang-ulang kali. Aku tak tahu apa yang berlaku dan hanya nampak mereka tetapi tak rasa apa-apa. Aku cuba memberi respon tapi tak berdaya. Setelah agak lama begitu bunyi mesin jantung bertukar menjadi senada sahaja. Doktor dan nurse mengelengkan kepala seolah-olah takde harapan. Suami menolak badan saya dengan kuat buat kali terakhir dengan perasaaan yang kecewa. Aku cuba bercakap tapi tiada siapa dengar. Aku hanya mampu memandang mereka kerana sudah tidak berdaya. Aku melihat muka suami dan berkata "bye-bye sayang!" .(Isk! Isk! macam filem hindustan plak.)
Pandangan tadi menjadi semakin kabur dan menghilang. Mata aku terbuntang luas apabila muncul pemandangan kosong berwana silver dan ada bulatan campuran warna ditengah-tengahnya. Jantung berdegup kencang dan hati berbisik "Eh! Aku dah nak mati ni". Terbayang di minda waktu suami menghantar ke hospital sekejap tadi. Aku bermonolog dengan Allah "Oh! Sampai di sini sahaja aku hidup. Ya Allah! Sesungguhnya aku redha jika umurku setakat ini iaitu 31 tahun sahaja. Aku redha atas segala takdir yang telah Engkau tetapkan. Aku maafkan segala fitnah yang telah dilemparkan padaku suatu ketika dahulu".
Tiba-tiba muncul bayangan anak-anak iaitu Aqil dan Qaisara yang berada di kampung ketika itu. Kemudian bayangan itu hilang dan pandangan menjadi kosong dan hening. Tiada lagi bunyi mesin atau sebarang suara yang boleh didengari. Perasaan rindu kepada anak-anak menguasai jiwa pada ketika bayangan anak-anak berlalu pergi. Aku terus bermohon dengan sepenuh hati kerana di saat itu hanya antara aku dan Allah s.w.t sahaja "sesungguhnya aku redha menunggu sakaratul mautMu ya Allah tapi jika diberi peluang aku tidak mahu mati lagi. Aku ingin menjaga kedua-dua anakku sehingga dewasa".Sebaik aku selesai berdoa tiba-tiba telingaku mendengar suara nurse memberi arahan "pandanganku terbuka. Seolah-olah ada hijab yang menutupi pandanganku sebelum ini.
Aku melihat wajah suami tersenyum sebaik sahaja pandangan terbuka. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Kelihatan hanya seorang nurse sahaja berada di sisi saya. Dia sempat berkata "lambat lagi awak nak bersalin ni, baru 7 cm terbuka". Sebaik sahaja dia berkata begitu sekali lagi aku diserang sakit yang kuat, nurse tadi sedikit menjerit "awak tahan dulu jangan bersalin lagi saya belum pakai sarung tangan lagi". Ibarat sekelip mata sahaja semua nurse dan doktor tiba-tiba datang dan mengelilingiku. Apa yang aku nampak dalam mimpi tadi ia kelihatan agak sama, bezanya kali ini saya dalam keadaan sedar dan berdoa dalam hati "Ya Allah! Panjangkanlah umurku, sesungguhnya aku tidak mahu mati lagi. Selamatkanlah kami Ya Allah".
Tepat jam 6.35 petang aku selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.98kg. Ia pengalaman yang menginsafkan. Alhamdulillah! aku benar-benar bersyukur kerana semuanya selamat. Air mata luncur mengalir tatkala terimbas pengalaman yang dilalui sebentar tadi. Bagaikan mimpi yang nyata apabila melihat diri sendiri yang tidak sedar dan ia seolah-olah benar-benar berlaku. Masya Allah! Subhanallah! Allahu Akbar! Sesungguhnya aku yakin ada hikmah tersembunyi disebalik semua yang berlaku.
Saat ini deruan nafas yang menghembus, degupan jantung yang berdetak dan setiap denyutan nadi yang berdenyut ia bagaikan kehidupan yang kedua kepada diriku. Sesungguhnya aku benar-benar mohon keampunanMu Ya Allah!
No comments:
Post a Comment