Thursday, August 25, 2011

BISKUT RAYA BERGAMBAR GEREJA

Minggu lepas, kami sekeluarga bershopping barangan dapur di Carrefour, Axis Atrium, Ampang. Dalam pada itu kami sempat meninjau biskut raya yang boleh dijadikan kudapan selepas berbuka. Kebetulan ada promosi yang agak menarik. Satu bekas kuih raye harganya RM9.Jenama biskut itu ialah my biscuit. Jika beli 2 bekas percuma 1. Kami rembat satu sahaja sebab risau takut kalau biskut itu akan dibuang begitu sahaja. Maklumlah biskut yang harganya agak murah ni biasenya kurang sedap.. hahaha... (tapi beli juga, mane tahu kot-kot jumpe yang sedap). 


Jadi malam selepas berbuka kami terus merasa biskut itu. Coklat luarannya agak sedap tetapi rase biskutnya biase sahaja. Namun apa yang mengejutkan kami ialah gambar yang ditampal pada bekas seolah-olah gambar masjid. Bila husband saya perhatikan betul-betul, rupanya ia adalah gambar gereja yang terang-terangan ada  salib. Kami terus jadi tak lalu nak makan. Adui! Rasa sudah serik untuk membeli kuih raye sembarangan ini. Mungkin ini peringatan kepada kami agar berhati-hati memilih kuih raya selepas ini..


Gambar yang ditampal di bekas biskut tersebut adalah gambar gereja berikut :



Gambar gereja yang sebenar.



Gambar yang telah diillustrasikan. 
Haa..kalau sekali pandang nampak macam masjidkan ??




p/s- Baik tempah jea la takpun cari kat kedai kek dan biskut orang islam punya.. 
konfem suci dan halal..

Monday, August 22, 2011

DOA TUNGGU BERBUKA PUASA MUSTAJAB


Manfaat Ramadan minta bantuan, petunjuk Allah

KEMERIAHAN bulan puasa di negara kita dikaitkan dengan penganjuran bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dari satu sudut, ia memberi kemudahan kepada mereka yang tidak sempat menyediakan makanan dan membuka peluang perniagaan. 

Namun, yang tidak sedapnya apabila bazar Ramadan terlalu menjadi tumpuan hingga menghilangkan hikmah di sebalik perintah umat Islam berpuasa yang menuntut mereka mengawal diri daripada makan, minum serta melakukan perkara membatalkan puasa.
Pada masa sama, adanya bazar Ramadan yang terlalu banyak bilangannya menjurus kepada pembaziran. Maklumlah, apabila rambang mata, kita lebih cenderung mengikut nafsu ketika membeli tetapi tiba masa makan, banyak mana sangat yang terlarat.
Terlalu memikirkan juadah yang sudah dibeli untuk berbuka puasa juga menyebabkan kita lupa mengambil kesempatan memohon doa sebelum masuknya waktu berbuka puasa atau azan Maghrib, iaitu waktu mustajab berdoa. 

Sementara menanti alunan azan, sebaiknya waktu lima minit direbut bagi memohon hajat kepada Yang Maha Esa. Alangkah ruginya jika waktu itu dibazirkan dengan berbual kosong atau hanya menonton televisyen. 

Sepanjang Ramadan langit dibuka setiap saat, pintu syurga dibuka seluas-luasnya sementara pintu neraka ditutup. Justeru, mintalah apa saja yang kita hajatkan kerana dengan izin Allah, permintaan itu akan dimakbulkan. 


Jika kita belum pernah berdoa sementara menanti waktu berbuka, dalam minggu akhir Ramadan ini, marilah jadikan ia amalan wajib. Luahkan segala apa yang terbuku dalam hati, mudah-mudahan Allah memakbulkan permintaan kita. 
Begitu juga apabila menjamah juadah, hendaklah dilakukan mengikut tertib, jangan terlalu gelojoh walaupun tidak dinafikan sudah penat seharian kita menahan nafsu makan. Sebaiknya dimulakan dengan makan kurma mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kemudian berhenti sekejap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menikmati juadah berat bagi menjana tenaga untuk menunaikan tarawih. 

Bagi mereka yang menghidap penyakit, pastinya perlu berhati-hati di bulan puasa ini supaya kesihatan terpelihara. Tambahan pula bagi yang berkemampuan berpuasa, akan berdepan cabaran hebat. 

Rasanya banyak kali sudah saya ulangi, yang penting ialah mereka perlu reda dengan ujian penyakit yang Allah datangkan kerana Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan mereka. 

Dari aspek penyembuhan pula, itu semua terserah kepada Allah kerana jika esok kata-Nya seseorang itu sembuh daripada penyakit, maka esok datang berita baik itu dan begitu juga jika sepuluh tahun lagi, selama itulah seseorang itu perlu mengharunginya. 

Namun, walaupun tempoh ditetapkan, kita hendaklah reda, berusaha, yakin dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Kata kuncinya ialah kesabaran dan bagi sesetengah kita, sabar ada hadnya yang akhirnya menyebabkan mereka berputus asa. 

Lagi satu, hendaklah yakin dengan mukjizat al-Quran bagi yang beramal dengan al-Quran sebagai kaedah rawatan. Ada yang mengharap cepat sembuh dan apabila hasilnya tidak seperti diharapkan, mereka mengambil keputusan mencuba kaedah lain pula. 

Berdasarkan maklum balas daripada mereka yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, 90 peratus memberitahu dapat merasai perubahan walaupun sedikit selepas mengamalkan surah yang diberi. 

Jika dulu kebas lima jari, sekarang tiga jari sudah boleh digerak-gerakkan. Dulu sakit tengkuk disebabkan gangguan, sekarang sudah boleh tidur dengan selesa. Seperti saya kata, kita hanya berusaha tetapi semua terserah kepada Allah yang lebih Mengetahui. 

Saya juga maklum dengan aduan sesetengah pihak yang datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang terpaksa menunggu lama, kami berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan sebarang kelemahan harap dapat dimaafkan. 

Mungkin ada yang sedang menanti temu janji yang sudah dibuat. Sementara menanti, anda juga boleh mengamalkan ayat al-Quran yang umum untuk penyakit tertentu seperti surah al-Israk, ayat 40-45 bagi penyakit jantung. 

Untuk penyakit kencing manis boleh baca surah al-Anbiya, ayat 62 hingga 73 dan bagi penyakit saraf atau tulang boleh amalkan surah al-Mukminun, ayat 60 hingga 80. 

Semoga kesungguhan kita menjiwai mukjizat al-Quran pada Ramadan yang menjanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka, Allah meringankan ujian yang diberi kepada kita dan beroleh kesihatan diharapkan. 


sumber : Berita harian

Friday, August 19, 2011

SEDIKIT IMBUHAN

Pengumuman Perdana Menteri mengenai imbuhan hari raya amat mengujakan kami kakitangan kerajaan. Alhamdulillah, nampaknya raya tahun ini melegakan ramai pihak memandangkan harga barangan yang semakin meningkat dan keperluan yang bertambah terutama menjelang Syawal nanti. 

Namun begitu kakitangan MARA agak 'frust' sedikit apabila memperolehi pekeliling MARA yang menyatakan bayaran bonus akan dibuat selewatnya-lewatnya pada 22 Ogos 2011. Aisey! Ini bermakna hanya tinggal seminggu sahaja untuk membuat persediaan menyambut hari raya. Ini pastinya menyebabkan ramai yang hanya mampu mengigit jari melihat jualan raya yang semakin menggila terutama menjelang Aidilfitri.



Syukur alhamdulillah,  perasaan 'frust' itu berakhir jua apabila rakan sejawat mengumumkan gaji dan bonus untuk kakitangan MARA telah dimasukkan pada hari ini iaitu 19 Ogos 2011. Semua tersenyum dan berkira-kira untuk ber'shopping' sakan dihujung minggu ini. Awas!  ingat belanja mestilah berwaspada dan pastikan bil-bil yang wajib dibayar perlu dilangsaikan dahulu sebelum bergembira. Pastikan juga budget selepas raya perlulah diselamatkan awal-awal daripada menjadi mangsa korban menyambut hari raya ini. 


Semoga Aidilfitri kali ini membawa seribu rahmat, ketenangan dan kebahagiaan buat kita semua. Rancanglah perbelanjaan dengan berhemah dan berpada-pada. Semoga kita menjadi hamba yang bertaqwa dan  membazir itu adalah sahabat syaitan.  Apa yang penting Syawal yang menjelang tiba ini akan mengeratkan ukhwah dan silratulrahim sesama saudara.




Jangan lupa juga rancanglah perjalanan yang selamat untuk sampai ke destinasi. Terutama kepada perantau yang jauh, pastikan kereta diservis terlebih dahulu agar perjalanan anda terjamin. Pastikan juga tidur dan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan kerana memandu memerlukan tenaga dan fokus yang tinggi untuk sampai ke destinasi yang ditujui. 


p/s - Sekian, wassalam!

10 ADAB BERPUASA

Disaring dari kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’ 

karangan : al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad (1132H) 


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ; 


1. Menjaga lidahnya dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya, 



2. Memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syara’ dan yang sia-sia, 



3. Mengawal perutnya dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilakn pemakanan yang halal lagi bersih, 

Ulama silam pernah berpesan : “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka ?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri dari terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal. 



4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan saw : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” [an-Nasaei] 

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang berpuasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa ianya lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasullah saw : “Puasa itu adalah ‘ perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor dan melakukan keburukan. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Saya sedang berpuasa”. [al-Bukhari dan Muslim] 




5. Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan besederhanalah pada keduanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai. 




6. Jauhikan diri dari mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja di bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Pengembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan. 



Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan Iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan dari Allah swt, kekusyukkan diri ketika bermunajat dan berzikir kepadaNya. 

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah swt. 


Sabdanya : “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantung perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” [ Ahmad dan at-Tarmiziy]. 

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut : ‘Sekiranya perutmu kenyang angota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang’. 
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa. 



7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan ini bahkan mengambil kesempatan yang ada bagi beribadat kepada Allah dan mengingatiNya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tangungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya. 



8. Mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ianya tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur. 

Nabi saw berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. 
Sabdanya : “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. [Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim]. 



9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda saw : “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”. [al-Baihaqi dan ibnu Khuzaimah]. 



10 . Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, witir dan sebagainya. 

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Tarawihnya sepertimana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat Tarawih mereka kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat tersebut seperti ; meninggalkan tomakninah semasa ruku’ dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan Tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya. 
Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, ruku’, sujud, khusuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya. 

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya di dalam mengerjakan solat Tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat. Sabdanya saw : “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” [an-Nasaei]. 





p/s : Artikel yang bermanfaat untuk dikongsi bersama. Sumber dari En. Google

Thursday, August 18, 2011

Ramadhan kali ini


Alhamdulillah, sudah 18 hari umat islam di seluruh dunia menjalani ibadah puasa dengan tekun dan sabar. Sedar atau tidak kita sudah menghampiri 10 malam yang terakhir dan diyakini Lailatul Qadar ada pada 10 malam yang terakhir. Namun apa yang penting semoga Ramadhan kali ini membawa seribu rahmat dan kekuatan kepada kita untuk menjadi hamba yang lebih bertaqwa kepada Allah s.w.t.






Alangkah beruntungnya jika kita menjadikan  Ramadhan kali ini sebagai titik anjakan paradigma dalam diri kita untuk menjadi insan yang beriman dan bertaqwa dengan sebenar-benarnya kepada Allah s.w.t. Di bulan yang mulia ini segala pintu di syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup. Para bidadari bergembira di syurga menyambut ketibaan  bulan yang penuh kemuliaan ini. Manakala syaitan dan kuncu-kuncunya digari dengan besi yang panas dan diseksa sepanjang bulan Ramadhan ini. Oleh itu, bertuahnya jika pada ketika ini kita merebut peluang untuk memohon jutaan pengampunan dari Allah s.w.t. Tidak kira siapa kita dan apa kesalahan yang pernah dilakukan mohonlah taubat kepada-Nya kerana pintu taubat terbuka luas kepada semua hamba-Nya. Mengadulah kepada Allah kerana Dia yang Maha Mendengar segala rintahan hamba-hambanya.


Usah biarkan diri kita terbuai hanyut dengan persiapan raya yang mengasyikkan. Jualan-jualan yang menghairahkan hawa nafsu dan hidangan yang enak sehingga melalaikan solat. Amatlah rugi kepada sesiapa yang membiarkan Ramdhan kali ini berlalu begitu sahaja tanpa sebarang penghayatan, kerana Ramadhan yang seterusnya nanti belum pasti kita berpeluang untuk menjalaninya buat kesian kali.  Wallahua'lam. 

Thursday, August 11, 2011

10 PERANGKAP SYAITAN


ALLAH berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (An-Nisa: 120-121).
Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing sebenarnya ada kaitan dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itu sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya sudah menyediakan ruang kepada syaitan menapak dalam diri.
Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri. Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap menguasai tunjang dalam badan manusia.
Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu:
Pertamamelalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan.
Keduamelalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu orang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.
Ketigamelalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri manusia yang berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik Allah pada bila-bila masa saja. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.” (an-Nahl:23)
Keempatsifat khianat. Khianat dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.
Kelimasifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Rasulullah selalu menasihati sahabat Baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan keempat daripada kalangan manusia dibenci Allah iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.
Keenammelalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu kering ” (Riwayat Bukhori dan Muslim).
Ketujuh melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu berasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan imam yang adil.” (Riwayat Muslim).
Kelapanmelalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.”(Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam adalah antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian tinggi tetapi amat malas berusaha memperolehnya.
Kesepuluh dan terakhir melalui sifat buruk sangka. Seseorang suka menuduh orang lain melakukan kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itu sebenarnya sudah rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)


sumber : 1. klik sini
          2.  klik sini

Monday, August 8, 2011

EMOSI IBUBAPA PENGARUHI ANAK

Oleh : Norlaila Hamima Jamaluddin (norlaila@hmetro.com.my)


APABILA tersiar berita wanita Malaysia menduduki tangga ke-16 paling tertekan di dunia, sana sini orang membincangkan isu berkenaan.Tetapi tahukah kanak-kanak juga mengalami tekanan terutama jika ibu bapa kurang memberi perhatian kepada mereka? Mungkin ramai ibu bapa tidak sedar bahawa masa yang mereka luangkan untuk anak-anak sebenarnya sangat singkat. Mungkin juga ada ibu bapa kurang bersetuju dengan kenyataan ini, tetapi cuba renungkan, berapa lama masa yang anda luangkan untuk benar-benar bercakap dengan anak? Adakah kemungkinan masa yang anda peruntukkan bersolek dan menggayakan pakaian di depan cermin atau bersembang dengan kawan di kedai kopi lebih lama berbanding anda bercakap dengan anak-anak? Mungkin ada yang menggelengkan kepala menandakan tidak. Jika difikir logik, memang tidak mungkin kita menghabiskan masa untuk diri sendiri lebih lama daripada bersama anak-anak namun inilah hakikatnya. Malah, ada ibu bapa tidak tahu mengenai pengalaman baru yang dilalui di sekolah atau pusat penjagaan kanak-kanak.




Dalam satu kajian pada 1989 hingga 1990 mendapati purata masa yang diluangkan bapa di Australia untuk bercakap dengan anak hanyalah 10 minit. Jangan geleng kepala dulu kerana dalam kajian ke atas 10,000 ibu bapa termasuk di Malaysia pada 1990 hingga 1992, masa yang diluangkan ibu (suri rumah) untuk benar-benar bercakap dengan anak hanyalah lima minit sehari manakala masa yang diambil oleh bapa di Malaysia hanyalah dua minit sehari! Ibu bekerja meluangkan masa lebih lama untuk bercakap dengan anak-anak iaitu lapan minit - mungkin ini disebabkan kesedaran memperuntukkan masa berkualiti bersama anak.

Menurut Perunding Psikologi Klinikal, Paul Jambunathan, tanpa disedari ramai ibu bapa ‘merelakan’ anak mereka membesar dengan pembantu rumah. Tanpa disedari juga, kebanyakan pembantu rumah yang menjadi ‘dunia’ kepada anak-anak kita lebih memahami emosi mereka.“Kanak-kanak juga ada banyak emosi, sama seperti orang dewasa. Kanak-kanak yang kurang kasih sayang akan menjadi individu dewasa yang kurang normal hidupnya. “Mereka akan cepat putus asa, tidak dapat memberikan sentuhan yang mententeramkan kepada pasangan atau anak-anak mereka kelak.  

“Kanak-kanak akan sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan perhatian ibu bapa. Mereka mahukan belaian, pelukan, kasih sayang dan pujian daripada ibu bapa. Apa yang membimbangkan ialah apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada kekosongan jiwa anak-anak ini dengan mencabul mereka. Mereka memberikan ‘sentuhan kasih sayang’ dalam cara yang salah. “Malah, jika sebarang kejadian tidak elok berlaku termasuk pergaduhan antara emak dan ayah, anak-anak terutama yang masih kecil akan menyalahkan diri sendiri kerana beranggapan merekalah punca masalah berkenaan,” katanya dalam Forum Kanak-kanak 2011 anjuran bersama Pertubuhan Kanak-kanak Bersatu Malaysia (Uncom) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). 

Kanak-kanak tidak pandai menggambarkan emosi mereka dengan kata-kata, tetapi ia boleh dilihat dengan jelas melalui perubahan riak muka dan perlakuan. Namun jika ibu bapa tidak rapat dengan anak, mereka mungkin tidak dapat mengesan perubahan ini. Sudahlah kurang memahami emosi anak, apabila diminta menyenaraikan keadaan emosi - kebanyakan ibu bapa memberikan emosi yang negatif. Inilah sebabnya yang selalu membuatkan kita berfikiran negatif sehingga terbawa-bawa apabila bercakap dengan anak.

Emosi dan proses pembelajaran 


“KANAK-kanak yang ceria dan gembira boleh belajar dengan lebih baik, sebaliknya kanak-kanak yang selalu dalam keadaan sedih kurang menunjukkan minat untuk belajar. Malah, komunikasi mereka juga akan bersifat negatif.“Emosi ibu bapa akan mempengaruhi anak-anak. Inilah sebabnya ibu bapa perlu bijak mengawal emosi mereka ketika bersama anak.“Jika emosi anda negatif, anak-anak akan merasa kesannya. Secara tidak langsung mereka juga akan berasa tidak seronok walaupun ibu bapa ada bersama,” katanya. 


Dalam kajiannya pada 1992 hingga 1992, Jambunathan mendapati kanak-kanak belajar perbendaharaan emosi atau perkataan yang menerangkan emosi melalui pengalaman. Ini bermakna ibu bapa perlu memberitahu perkataan yang betul bagi setiap keadaan emosi seperti seronok, gembira, suka, sedih atau hampa.“Jika tidak diajar, anak-anak tidak pandai untuk luahkan emosi atau perasaan mereka. “Kanak-kanak yang tidak dapat melahirkan perasaan mereka dengan baik tidak membesar dengan sempurna,” katanya.Memberi peluang anak bercakap dalam perbualan keluarga sebenarnya boleh membantu meningkatkan kemahiran mereka berkomunikasi.

Kajian penyelidik ke atas 150 kanak-kanak di bawah Program Penyelidikan Pendidikan Majlis Belanda selama beberapa tahun mendapati mereka dapat menjawab soalan yang diajukan guru dalam kelas dan mampu mematuhi arahan dengan baik. Peluang bercakap setiap hari (atau hampir setiap hari) secara serius dengan bapa sebenarnya menggembirakan anak-anak. Remaja Britain memberikan diri sendiri skor 87 peratus dalam skala kegembiraan berbanding hanya 79 peratus di kalangan remaja yang jarang bercakap dengan bapa mereka.Inilah penemuan daripada soal selidik isi rumah rakyat Britain ke atas 1,200 remaja berumur 11 hingga 15 tahun yang dijalankan Universiti York. Ia mendapati hampir separuh responden (46 peratus) berkata sangat jarang bercakap dengan bapa mengenai perkara penting. Kurang daripada 31 peratus responden bercakap dengan ibu hampir setiap hari tetapi hanya 13 peratus yang meluahkan masalah mereka kepada bapa. Kekerapan bercakap dengan bapa terutama membabitkan perkara penting semakin kurang apabila remaja meningkat dewasa. 

Data menunjukkan di kalangan kanak-kanak 11 tahun, 42 peratus bercakap lebih sekali seminggu dengan bapa berbanding hanya 16 peratus di kalangan remaja berusia 15 tahun. Keputusan ini lebih kurang sama dengan kajian terdahulu.Malah, ada penyelidik berpendapat bagi kanak-kanak sekolah rendah, ibu bapa menjadi ‘aset’ terbesar sepanjang waktu persekolahan. Ini kerana pencapaian akademik anak mempunyai kaitan rapat dengan pembabitan ibu bapa dalam aktiviti sekolah. Pembabitan ini bukan sekadar membantu anak menyiapkan kerja sekolah, malah menjadi sukarelawan dalam sebarang aktiviti sekolah juga didapati mampu meningkatkan keyakinan dan pencapaian anak dalam pelajaran.
Keselamatan kanak-kanak di rumah

KESELAMATAN di rumah juga sangat penting untuk menjinakkan hati anak-anak.Gejala lepak berlaku kerana anak-anak berasa tidak selesa di rumah sendiri yang boleh disebabkan pelbagai faktor seperti keadaan rumah sempit, bising atau tekanan daripada ibu bapa.“Anak-anak berasa selesa ketika melepak kerana mereka diterima oleh kawan. Mereka boleh berkelakuan mengikut kehendak sendiri berbanding ketika bersama ibu bapa. Inilah sebabnya ibu bapa perlu ‘buka telinga’ untuk anak, hanya dengan cara ini barulah kita akan nampak apa yang mereka inginkan,” katanya. 

Ibu bapa juga perlu sentiasa mengawal emosi. Pamerkan emosi negatif (seperti marah) pada waktu dan individu yang sepatutnya. Contohnya jika anda marah pada seorang anak, usah babitkan anak yang lain dan pastikan dia tidak dimarah di tempat awam atau di hadapan kawannya.“Ibu bapa yang memukul anak biasanya tidak berfikir terlebih dulu. Jarang ibu bapa berhenti sejenak, berfikir dan berkata ‘Ayah/ibu marah dengan sikap awak (nama anak).’Beri masa kepada diri sendiri untuk berfikir sebelum memukul anak. “Biasanya anak akan faham dan jika diberi peluang (dengan menunjukkan perlakuan yang betul), mereka belajar untuk tidak mengulangi kesalahan sama. 

“Ibu bapa di Malaysia akan marah apabila anak bertanya perkataan yang tidak elok maksudnya seperti bangsat atau perkataan lain yang ada unsur seks. “Jangan marahkan anak, sebaliknya tanya dari mana mereka dengar perkataan itu kemudian cuba terangkan secara ringkas supaya mereka faham.“Lebih baik jika anda dapat berikan contoh mengapa perkataan itu perlu dielakkan. Mereka sebenarnya dalam proses belajar dan ibu bapa perlu terima hakikat bahawa sebahagian besar perbendaharaan kata anak-anak datang daripada persekitaran,” katanya. Selain itu, wujudkan suasana positif di rumah. Contohnya, apabila anak balik dari sekolah, jangan terus terpa telinga mereka dengan arahan tertentu seperti ‘masukkan stokin dalam bakul’ atau ‘susun kasut di rak’ kerana anak akan mendapat emosi negatif. Alu-alukan kepulangan anak supaya dia berasa senang hati. Ini boleh dilakukan dengan memberi pujian atas kerelaannya ke sekolah, balik tepat masa dan tidak merayau sebelum balik ke rumah, kemudian barulah boleh memberikan arahan.

Bagaimana membantu anak anda menguasai perbendaharaan emosi
·  Tanya perasaannya setiap hariDengar apa yang anak hendak katakan
·  Cuba dengar emosi yang tidak diucapkan dan bincangkan dengan anak
·  Hubungkan emosi anak dengan realiti dengan memberi contoh supaya dia faham

·  Bincang dengan anak semasa gembira atau duka
·  Kongsi atau luahkan perasaan anda pada anak



Panduan berkomunikasi dengan anak 

CARA Nabi Muhammad s.a.w melayan anaknya sangat istimewa. Apabila puterinya, Fatimah Az-Zahra datang ke rumah, Rasulullah menyambutnya dengan bangun, memegang tangan, mencium dan memberikan tempat duduknya kepada Fatimah. Layanan seperti ini akan meninggalkan kenangan manis yang akan dikenang sepanjang hayat berbanding memberikan hadiah. Malah, ia juga akan membuatkan anak berasa lebih dihargai dan disayangi. Jadi anak-anak perempuan khususnya tidaklah mudah terpikat dengan pujian dan kata-kata manis lelaki lain. Masalah yang dihadapi kebanyakan bapa (khususnya) ialah tidak tahu apa yang perlu disembangkan dengan anak. Panduan di bawah mungkin boleh membantu anda: Pilih masa yang sesuai untuk bercakap dengan anak iaitu ketika dia berasa selesa. Sesetengah kanak-kanak tidak sabar hendak bercerita sebaik balik dari sekolah, ada yang boleh tunggu hingga malam ketika kedua-dua ibu bapa ada di rumah.

·  Jangan tanya soalan ‘Macam mana sekolah hari ini?’ kerana anda akan dapat jawapan seperti ‘ok’ atau ‘biasa saja.’
·  Sebaliknya tanya ‘Ada perkara menarik berlaku di sekolah hari ini?’
·  Tanya juga mengenai cerita kawannya. Bercerita mengenai orang lain lebih mudah daripada bercerita kisah diri sendiri.
·  Anda juga boleh mengimbas balik kisah lama dan minta anak bercerita mengenainya.
·  Bacakan buku cerita sebelum anak tidur pada waktu malam. Banyak kisah cendekiawan Islam yang boleh diceritakan dan ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan anak dengan tokoh Islam terbilang. Cara ini secara tidak langsung akan menggalakkan interaksi antara bapa dan anak.
·  Amalkan solat berjemaah di rumah, jika ada halangan ke masjid. Minta anak yang lebih besar mengalunkan qamat. Anda juga boleh minta anak yang lain jadi ‘pengurus solat’ untuk membentangkan sejadah dan mengemasnya beramai-ramai selepas solat.
·  Jika anak sudah cukup besar dan pandai jaga kelakuan, bawalah anak ke masjid untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti lain.
·  Minta pandangan anak dalam membuat keputusan mudah yang membabitkan urusan rumah tangga contohnya menu pada hujung minggu, barang keperluan ataupun pembahagian tugas membersihkan rumah.
·  Luangkan masa untuk anak dan biar anak tahu anda sentiasa bersedia mendengar cerita atau ada masa untuk mereka. Jika anda lebih mementingkan perkara lain, dikhuatiri anak akan mengadu kepada orang lain, yang mungkin memberi pengaruh tidak elok kepada mereka.
·  Ramai ibu bapa tidak sedar mereka lebih banyak memberi arahan atau bercakap kepada anak, bukan dengan anak. Bercakap kepada anak bermakna bercakap satu hala (dari ibu ke anak), sedangkan apa yang perlu diamalkan ialah komunikasi dua hala.


Namun menurut Jambunathan, jika anda tidak mampu mengawal perlakuan anak, dapatkan bantuan daripada doktor atau pakar psikiatri. Mereka akan bantu anda untuk mengenali sikap anak-anak kerana hampir 70 peratus suara anak-anak tersimpan dalam hati.

Friday, August 5, 2011

ANDAI INI RAMADHAN TERAKHIR






  
  
 
ANDAI INI YANG TERAKHIR  
  andai kau tahu ini Ramadhan terakhir 
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir 
  
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan 


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir 
  
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...
mengadu...merintih...meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU" 
 

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir 
  
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan 


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
 
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman 


Duhai Ilahi.... 
  
andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti
   

Namun teman... 

tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia...meminta belas-NYA   


andai benar ini Ramadhan terakhir buat ku
 
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH DILAKUKAN
    
Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarraq..

Wassalam

  
P/S -  Post ini diperolehi dari email en. hubby... amat menyentuh hati!