Wednesday, September 21, 2011

WARKAH Aa GYM KEPADA BUSH


Saudara Bush, ketika kami menyaksikan peralatan mesin perang Anda dipertontonkan di media dunia, berdiri bulu roma kami, bergetar keras perasaan kami. Terbayang di pelupuk mata, ketika mesin-mesin pembunuh ini beraksi, potongan-potongan tubuh akan berhamburan, darah bersimbah di mana-mana mengalir dari sungai, jeritan dan lolongan orang-orang yang terpanggang di rumahnya yang hangus terbakar, juga lolongan orang yang tertimbun bangunan yang kau runtuhkan. Terbayang anak yang menangis mengais jasad bapaknya yang tak utuh. Terbayang seorang ibu yang bersimbah air mata dan darah, menggengam anaknya yang telah lunglai tak bernyawa. Prahara di mana-mana, bala bencana kemanusiaan yang mengerikan.


Wahai Saudara Bush, inikah yang engkau inginkan. Inikah kemenangan yang kau idam-idamkan. Dimana nuranimu? Untuk siapakah engkau lakukan ini. Untuk dunia? Sudah kita saksikan dunia tidak ada yang setuju dengan kekejian ini. Untuk bangsa dan rakyat Amerika? Kami pun sudah menyaksikan rakyat Anda tidak setuju. Dan apakah jikalau dengan melakukan ini Amerika akan menjadi aman? Jusru sebaliknya, perilaku Andalah yang membuat anda dibenci di dunia ini. Kebencian itulah yang membuat Anda tidak aman dan rakyat anda tidak akan aman.


Saudara Bush, Jikalau Anda menginginkan keselamatan bagi rakyat Anda, sepatutnya anda pimpin agar negara anda menjadi negara yang anda cintai oleh negara lain di dunia ini. Dan cinta tidak bisa diperoleh dengan hamburan darah dan tebaran mesiu. Cinta hanya akan diperoleh kalau Anda benar-benar menegakkan keadilan di dunia ini.


Saudara Bush, kita hidup sama-sama satu kali di dunia ini. Sejarah akan mencatat kemuliaan hanya dimiliki oleh orang-orang yang menebarkan kedamaian, kasih sayang, dan dicatat dengan tinta emas. Sejarah menunjukkan, orang-orang yang menebar kematian, pembantaian, dicatat dengan tinda darah. Andaikata kematian menimpa kepada kita, dicatat dengan tinta apakah nama Anda?

Dari seorang manusia di bumi yang amat prihatin dengan perilaku Anda.

Abdullah Gymnastiar - rakyat Indonesia

sumber : klik sini

Wednesday, September 14, 2011

PENYEJUK HATI


Kali ini saya ingin berkongsi gambar-gambar bayi
 yang sungguh comel dan mengujakan hati. 
Mereka seputih salju, sebersih kapas
 dan ciptaan Allah yang terindah. 
Mereka adalah anugerah yang amat berharga 
tidak ternilai buat kita sebagai ibubapa. 
Semoga kita dapat mencorak mereka
 menjadi ahli syurga di akhir nanti. 

Insyaallah!!








P/s - comelkan?.. 

Monday, September 12, 2011

HIKMAH DISEBALIK SAKIT

Hampir 5 hari saya demam, batuk dan selsema yang agak teruk. Sudah agak lama saya tidak sakit begini, seingat saya kali terakhir ialah tahun lepas yang mana saya mengalami demam denggi hampir seminggu. Namun ujian yang dihadapi pada kali ini agak berat juga memandangkan suami dan anak turut mengalami demam yang sama. Tengahari Jumaat lepas anak saya Aqil terpaksa dimasukkan ke dalam wad kerana suhu badan mencecah 40 darjah celcius. Namun begitu, alhamdulillah kerana kakak saya yang tinggal berhampiran sudi datang menjenguk hampir setiap hari.. Begitu juga  dengan adik saya seorang lagi tiba dari kampung halaman untuk menjaga anak yang berada di wad.


Keadaan anak semakin baik selepas diberi suntikan antibiotik dan ubat. Atuk dan nenek yang sangat risaukan kesihatannya, tiba-tiba sahaja muncul pada pagi keesokan harinya. Dia dibenarkan keluar wad selepas semalaman berada di Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah. Namun, demam masih belum sembuh walaupun hari ini masuk hari yang ke-5. Entah apa virus yang menyerang keluarga kami. Biasanya kami demam tidak lebih dari 3 hari namun kali ini virus yang menyerang kami memang agak kebal.


Namun, saya yakin disebalik ujian yang menimpa keluarga kami terselit seribu hikmah. Saya sedari bahawa setiap kekuatan yang kita miliki pada saat ini adalah pemberian Allah. Ingat! setiap benda walaupun sangat simple. Sebagai contoh kekuatan untuk melihat. Sepanjang sakit, saya tidak mampu memandang cahaya. Walaupun sekadar cahaya tingkap. Rumah dibiarkan bergelap dan ditutup dengan langsir tebal. Subhanallah! sebelum ini saya memang tidak sukakan gelap. Itulah nikmat yang ditarik Allah buat seketika. 


Apatah lagi hendak berfikir  panjang, itu pun tak mampu kerana kepala terlalu sakit dan pening.  Solat pun tak berdaya dilaksanakan dengan keadaan berdiri kerana tubuh terlalu sakit. Saya hanya mampu solat secara duduk itupun sangat sekejap kerana tidak larat. Masyaallah! saya sedar betapa ruginya kalau kita solat secara lalai selama ini sedangkan Allah telah bagi  kekuatan untuk mengerjakannya secara sempurna.


Benarlah segala nikmat yang Allah berikan sewaktu kita sihat sebenarnya terlalu banyak. Nikmat makan, minum, merasa, bernafas, melihat, tidur, bangun, duduk, berfikir, mengangkat, berjalan, berlari dan segala-galanya adalah sesuatu yang amat besar dan jarang kita syukuri.  Bertapa bersyukurnya saya kembali sihat walaupun belum sepenuhnya. Semoga Allah memberi keampunan kepada saya yang selama ini lupa dan lalai untuk bersyukur kepada-Nya. 

Wednesday, September 7, 2011

SEMUA DEMAM

Hari ini saya kuatkan semangat untuk pergi kerja memandang mc sampai semalam sahaja. Namun, menjelang tengahari batuk mula menyerang dan saya terasa sungguh tidak berdaya. selepas memberikan sedikit tugasan kepada pelajar saya pergi ke klinik berdekatan. Alhamdulillah doktor memberi cuti rehat untuk hari ini. Dapatlah saya pulang untuk berehat memandang batuk saya semakin teruk. 

Namun, sebaik sahaja sampai dirumah, pengasuh menghantar mesej memberitahu Aqil pulak demam. Saya terus pergi mengambil dia kerana risau akan berjangkit kepada kawan-kawan kecilnya yang lain. Ingat dapatlah saya berehat dengan tenang tetapi tidak begitu. Aqil asyik merengek kerana suhu badannya yang agak tinggi. Saya memujuk beliau  makan ubat namun ditolaknya. Habis gaya dan helah difikir untuk memberi ubat kepadanya tetapi ditolak mentah-mentah. Saya biarkan dia tidur dahulu agar nanti dia akan lapar dan minta susu. Namun sampai petang nampaknya dia masih tidak mahu minum. Mungkin tekaknya sakit atau panas. Saya agak begitu. Harap sekejap lagi dia akan bangun dan minum susu yang terpaksa dicampur dengan ubat. 

Abahnya pula mula mengalami simptom-simptom demam yang sama. Ya Allah! kuatkanlah semangat saya untuk menghadapi semua ujian ini. Semoga Allah s.w.t memberi pertolongan kepada hamba-Nya yang lemah dan tidak berdaya ini. Amin.

Tuesday, September 6, 2011

BUKAN SEKADAR DEMAM

Semalam hampir sehari suntuk saya mengalami demam yang agak teruk. Ia bermula pada awal pagi lebih kurang jam 1.00 pagi yang mana saya sudah terasa tidak sedap badan. Saya terus menelan 2 biji panadol. Telahan saya demam akan berkurangan menjelang pagi esok, namun ia meleset. Demam semakin kuat menjelang tengahari dan memaksa saya meminta suami pulang awal dari tempat kerja. Jam 2 petang suami sudah tiba dirumah, badan terasa sungguh lemah sampaikan saya hampir tidak mampu untuk berjalan. Perjalanan ke klinik KITA yang terletak di Desa Pandan yang jaraknya hanya 2 kilometer terasa amat jauh. Seluruh tubuh terasa sungguh sakit terutama apabila tayar kereta menaiki bumper. 

Itulah salah satu nikmat kesihatan yang ditarik Allah buat seketika. Saya sedar bahawa begitu besarnya erti sebuah nikmat kesihatan yang diberikan Allah kepada saya selama ini. Segala kemewahan dan kesenangan dunia sudah tidak bererti. Apa yang terfikir dibenak saya hanyalah saya mahu Allah sembuhkan segala penyakit saya ini. Segala masalah dan kerisauan yang menguasai diri sebelum ini terus terpadam kerana saya hanya inginkan nikmat sihat. Itu sahaja. 

Hari ini alhamdulillah walaupun badan saya masih belum sihat sepenuhnya, saya rasa amat bersyukur kerana ia lebih baik dari semalam. Saya yakin ujian  ini adalah untuk menyedarkan diri kita bahawa segala nikmat yang diberi pada saat ini mampu ditarik Allah dalam sekelip mata sahaja. Oleh itu, sama-samalah kita sentiasa bersyukur kepada Allah akan segala nikmat yang dikecapi pada hari ini.