Hampir 5 hari saya demam, batuk dan selsema yang agak teruk. Sudah agak lama saya tidak sakit begini, seingat saya kali terakhir ialah tahun lepas yang mana saya mengalami demam denggi hampir seminggu. Namun ujian yang dihadapi pada kali ini agak berat juga memandangkan suami dan anak turut mengalami demam yang sama. Tengahari Jumaat lepas anak saya Aqil terpaksa dimasukkan ke dalam wad kerana suhu badan mencecah 40 darjah celcius. Namun begitu, alhamdulillah kerana kakak saya yang tinggal berhampiran sudi datang menjenguk hampir setiap hari.. Begitu juga dengan adik saya seorang lagi tiba dari kampung halaman untuk menjaga anak yang berada di wad.
Keadaan anak semakin baik selepas diberi suntikan antibiotik dan ubat. Atuk dan nenek yang sangat risaukan kesihatannya, tiba-tiba sahaja muncul pada pagi keesokan harinya. Dia dibenarkan keluar wad selepas semalaman berada di Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah. Namun, demam masih belum sembuh walaupun hari ini masuk hari yang ke-5. Entah apa virus yang menyerang keluarga kami. Biasanya kami demam tidak lebih dari 3 hari namun kali ini virus yang menyerang kami memang agak kebal.
Namun, saya yakin disebalik ujian yang menimpa keluarga kami terselit seribu hikmah. Saya sedari bahawa setiap kekuatan yang kita miliki pada saat ini adalah pemberian Allah. Ingat! setiap benda walaupun sangat simple. Sebagai contoh kekuatan untuk melihat. Sepanjang sakit, saya tidak mampu memandang cahaya. Walaupun sekadar cahaya tingkap. Rumah dibiarkan bergelap dan ditutup dengan langsir tebal. Subhanallah! sebelum ini saya memang tidak sukakan gelap. Itulah nikmat yang ditarik Allah buat seketika.
Apatah lagi hendak berfikir panjang, itu pun tak mampu kerana kepala terlalu sakit dan pening. Solat pun tak berdaya dilaksanakan dengan keadaan berdiri kerana tubuh terlalu sakit. Saya hanya mampu solat secara duduk itupun sangat sekejap kerana tidak larat. Masyaallah! saya sedar betapa ruginya kalau kita solat secara lalai selama ini sedangkan Allah telah bagi kekuatan untuk mengerjakannya secara sempurna.
Benarlah segala nikmat yang Allah berikan sewaktu kita sihat sebenarnya terlalu banyak. Nikmat makan, minum, merasa, bernafas, melihat, tidur, bangun, duduk, berfikir, mengangkat, berjalan, berlari dan segala-galanya adalah sesuatu yang amat besar dan jarang kita syukuri. Bertapa bersyukurnya saya kembali sihat walaupun belum sepenuhnya. Semoga Allah memberi keampunan kepada saya yang selama ini lupa dan lalai untuk bersyukur kepada-Nya.
2 comments:
Alangkah bahagianya jika hati kita menyedari semua yang baik dan buruk itu ada hikmahnya.
Semoga cepat sembuh.
Semoga cepat sembuh. Moga Allah memberi kekuatan kepaad Fifah & keluarga.
Post a Comment