Artikel yang amat menarik dan untuk dikongsi bersama. okay! jom baca..
Artikel ini dipetik dari web :http://www.sharemotivasi.com/
Mengumpat itu adalah perbuatan mengeji atau mengutuk orang lain di luar pengetahuan orang tersebut. Fitnah pula adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti. Rasulullah s.a.w bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah?
Para sahabat berkata: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka. Ditanya: “Wahai Rasulullah jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus aku dikatakan?” Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat. (riwayat Muslim) Fitnah ini bukan hanya berlaku sekarang. Saidatina Aishah juga pernah difitnah, begitu juga fitnah yang membawa kepada kematian khalifah Uthman Ibn Affan. Mengapa ia berlaku?
Dalam sejarah awal Islam, fitnah adalah berbentuk perbuatan mengadu domba atau melaga-lagakan orang. Sebabnya, orang Arab ketika itu masih kuat dipengaruhi semangat assabiyah atau kedaerahan. Apabila nabi wafat, maka berlaku cubaan merampas kuasa oleh orang Muhajirin di Saqifah Bani Saad. Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dipatahkan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar.Selain itu, orang Yahudi menabur fitnah untuk memecah-belahkan masyarakat.Malah, pada ketika itu juga ada golongan yang ekstrem sehingga mewujudkan syiah (penyokong kuat) pemimpin tertentu seperti syiah Abu Bakar dan syiah Ali.
Dalam al-Quran, Allah berfirman, …dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh…(al-Baqarah: 191). Mengapakah begitu besar ancaman fitnah ini kepada masyarakat?
Ayat di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Antara sebabnya adalah fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak peranda. Berbanding dengan membunuh, ia hanya melibatkan nyawa. Sebab itu, dalam Islam hukum merampas barang orang dan mencuri berbeza. Mencuri hukumnya lebih berat kerana ia mengambil barang orang lain secara senyap dan menyebabkan masyarakat rasa tertekan dan tidak tenteram. Walhal, merampas barang orang walaupun berdosa tetapi hukumannya adalah dengan membayar ganti rugi.
Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Bagi Muslim, perbuatan tersebut akan menghilangkan ‘status’ sebagai Muslim. Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “…dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?…” (al-Hujurat: 12) Sedangkan Islam menyuruh umatnya menutup keburukan yang dilakukan oleh saudara sesama Muslim. Bagi mereka yang menyembunyikan keburukan ini, maka Allah akan sembunyikan keburukan mereka di akhirat. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah s.a.w. Dalam surah al-Hujurat ayat 6, kita diingatkan supaya berhati-hati apabila menerima berita daripada orang fasik. Persoalannya, bagaimana hendak mengetahui kefasikan seseorang itu?
Pengajaran yang lebih penting dalam ayat ini adalah membudayakan berhati-hati apabila menerima berita daripada orang kita ragui. Demikian juga apabila mendapat berita sama ada melalui khidmat pesanan suara (SMS), khabar angin, tuduhan melulu atau melalui Internet yang boleh dipertikaikan kejujurannya atau ada udang di sebalik batu, maka ini juga tergolong dalam kategori fasik.
Tentang maksud fasik ini, ulama berbeza pandangan. Ada yang berkata, fasik itu ialah orang yang pernah membuat dosa besar. Satu pihak lagi mengatakan fasik itu ialah orang yang pernah melakukan dosa besar atau yang sentiasa membuat dosa besar. Ada juga berita-berita kecil yang disensasikan oleh media. Dan ada juga berlaku di mana orang yang terlibat itu seronok sebab berita tentang dirinya dapat liputan meluas. Padahal natijahnya ia menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.Apabila masyarakat, terutama anak muda terbiasa hidup dalam suasana fitnah menjadi perkara biasa, mereka akan hilang sensitiviti. Akhirnya masyarakat jadi kucar-kacir dan menghakis idealisme perpaduan dalam Islam.
Apakah sikap dan tindakan yang perlu dilakukan oleh mangsa fitnah itu tadi?Di dunia, mangsa berhak pertahankan diri dan minta pihak yang memfitnah itu kemukakan bukti dan kenyataan bagi menyokong kebenaran dakwaan tersebut. Dari segi doktrinnya, mereka tetap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.Dari segi agama, mangsa perlu bersabar dan tidak melakukan fitnah balas kepada orang yang memfitnah atau kepada pihak ketiga. Kadang-kadang, kejadian ini adalah cubaan Allah untuk menguji keimanan seseorang. Baginda s.a.w sendiri pernah difitnah. Namun, fitnah atau tohmahan itu akan melahirkan peribadi yang lebih utuh.
Namun, jika sudah tidak mampu ditanggung atau ditahan lagi, kita akan melenting dan boleh membawa kepada kehancuran. Apabila terkena fitnah atau musibah, ia bukanlah 100 peratus keburukan. Mungkin yang kena fitnah itu akan terima sokongan ramai yang bersimpati dengannya. Barangkali juga kesulitan dan ujian Allah ini baik untuk kita sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “…Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu dan dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu perkara padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 216).
Mari kita hayati kata-kata Imam Ghazali, “kekuatan itu bukan terletak orang yang boleh bergusti atau menang tetapi orang yang kuat ialah yang boleh menahan diri daripada bertindak liar apabila mereka dalam keadaan marah”. Kebanyakan pemimpin dunia mempunyai sifat begini. Malah dalam Islam, kita juga perlu beriman dengan qada dan qadar. Ini membolehkan kita berasa tenang dan tidak resah gelisah walau apa pun yang berlaku kerana semuanya telah ditentukan Allah. Malah pergantungan terakhir adalah pada Allah Yang Esa. Bagi budaya peradaban yang lebih tinggi, adalah dicadangkan supaya mangsa fitnah itu bersyukur kerana mujur tidak difitnah lebih besar daripada yang sekarang.
Apa pula reaksi orang Islam apabila berhadapan dengan hal sebegini?
Setiap Muslim tidak boleh terima bulat-bulat tohmahan atau fitnah yang disampaikan kecuali setelah diperiksa kesahihannya. Sebab itu Islam sangat menentang sifat jahiliah iaitu sifat yang menggunakan persepsi semata-mata untuk menentukan kebenaran atau tidak. Sebaliknya, umat Islam perlu menggunakan keyakinan data ilmiah dalam menentukan benar atau salah sesuatu berita itu.
Bagi pengikut mana-mana individu, apabila berhadapan dengan fitnah hendaklah mereka bertenang dan tidak bertindak melampau. Sebagai manusia, kita bukan maksum (terpelihara daripada dosa). Malah, apabila berlaku kematian kita menyebut Inna Lillahi wa Inna Ilaihirajiiun (dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali). Apabila mendapat nikmat pula kita menyebut Alhamdulillah (segala puji bagi Allah). Mereka yang tunjukkan reaksi bukan menunjukkan sifat Muslim yang ideal. Bukanlah langsung kita tidak boleh bereaksi spontan seperti rasa marah. Yang dilarang ialah rasa marah yang berpanjangan. Sebabnya apabila emosi menguasai, kita tidak lagi menggunakan akal. Sedangkan yang sepatutnya akal menguasai emosi atau nafsu manusia. Yang perlu kita ingat adalah apabila Allah turunkan bala, ia akan mengenai semua orang sama ada yang melakukan maksiat atau orang yang beriman.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (al-Anfal: 25).
No comments:
Post a Comment