Setiap daripada kita pasti akan menghadapi masalah. Tidak kira sama ada masalah itu kecil atau besar pasti ia akan memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan seharian. Namun kita perlu ingat bahawasanya :
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah ayat 286)
Sebagai manusia walau sehebat manapun kita jika tidak kembali kepada Allah pastinya jiwa akan terasa kosong. Cuba uji bagaimana hati kita pada saat ini. Adakah ia dalam keadaan tenang?gundah gulana? serabut? atau pun tak tahu?.. macamana nak ukur hati kita yea? kata Imam Al-Ghazali ;
"Carilah hatimu di 3 tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kpd Allah, pinta hati yg baru kerana hakikatnya pd ketika itu kau tidak mempunyai hati!" (Iman Ghazali)
Tempat yang terbaik untuk kita mengadu masalah kita sebenarnya kepada Allah. Hanya Allah yang mampu memahami dan mendengar segala luahan hati kita. Percaya atau tidak jika kita mengadu kepada manusia kadangkala ia akan memberi implikasi yang lebih buruk atau tidak sesuai dengan kemahuan kita. Oleh itu, cara yang paling baik ialah luahkan segalanya dihadapan Allah agar Allah membuka jalan dan memberi petunjuk kepada kita.
Bagaimana untuk membersihkan hati yea? cara-caranya ialah :
(i) Menjaga solat.
Perbetulkan solat fardhu kita terutama dari segi bacaan dan pergerakan solat. Rujuk buku cara mengerjakan solat dengan khusyuk. (Perlu diingat ramai yg mengerjakan solat namun hatinya masih kosong kerana tidak menjaganya.). Paling mudah untuk mendisiplinkan solat ialah dengan menunaikan solat secara berjemaah.
Ini berdasarkan Sabda Nabi SAW:
"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat"
(HR Bukhari dan Muslim)
(ii) Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya
Menjinakkan diri dan melunakkan hati dengan bacaan al-quran. Tanda-tanda hati kotor ialah tidak seronok mendengar bacaan al-quran dan tidak mahu mempelajari al-quran. Jika tahap penguasaan masih rendah, korbankan ego anda untuk belajar walaupun anda perlu bermula daripada huruf asas. Ganjaran pahala untuk orang yang belajar al-quran adalah 2 kali ganda berbanding orang yang sudah pandai membaca al-quran. Jadi apa yang perlu anda malu lagi?? ( Baik belajar sekarang sebelum kita tua dan tidak berdaya lagi, betul tak??)
Dan jika Kami jadikan Al Qur'an itu suatu bacaan dalam selain bahasa Arab tentulah mereka mengatakan: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?". Apakah (patut Al Qur'an) dalam bahasa asing, sedang (rasul adalah orang) Arab? Katakanlah: "Al Qur'an itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al Qur'an itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh". [ Fushshilat : 44 ]
Pastikan anda perbetulkan niat untuk belajar al-quran hanya kerana Allah dan hanya untuk mencari keredhaan-Nya. Insyaallah segala usaha kita akan dipermudahkan. Bergurulah dengan ustaz atau kawan yang mahir membaca al-quran agar bacaan kita tidak tersasar. Amalkan bacaan al-quran pada setiap hari, insyaallah hati kita akan semakin bersih dan beroleh ketenangan yang sukar diucapkan dengan kata-kata.
(Tips meringankan lidah untuk membaca al-quran ialah memulakannya dengan al-fatihah dan surah yaasin. Nescaya lidah semakin mudah membaca surah-surah lain terutama yang surah yang panjang dan sukar disebut.)
(iii) Mengosongkan perut
Sentiasa mengamalkan puasa sunat kerana banyak ganjaran yang Allah berikan kepada kita. Sebagai contoh puasa dapat membersihkan dosa dan juga meningkatkan tahap kesihatan kita. Selain itu ia juga dapat menjimatkan duit poket betul tak?
"Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" ( Al Baqarah : 183)
Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda : "Berpuasalah maka kamu akan sihat"
(HR. Ibnu Suny dan Abu Nu’aim)
Juga dalam hadits yang lain dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda :
"Bagi tiap-tiap sesuatu itu ada pembersihnya dan pembersih badan kasar (jasad) ialah puasa".
(HR. Ibnu Majah)
(iv) Bangun bersolat malam
Bangun bersolat pada 2/3 malam mengandungi pelbagai hikmah. Kenapa Allah memilih malam untuk memberi ganjaran istimewa kepada hamba-Nya?
Ini kerana pada malam hari suasananya yang sunyi dan sepi akan membuatkan bacaan kita betul dan solat kita semakin khusyuk. Ia juga melambangkan cinta hamba kepada tuhannya yang sanggup meninggalkan tempat tidur yang penuh nikmat semata-mata untuk menyembah-Nya. Firman Allah s.w.t ;
“Wahai orang yang berselimut, bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan ‘Tartil’ (perlahan-lahan). Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah yang berat). Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya”. (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-6)
“Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk sembahyang) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji." (Surah Al-Israk: Ayat 79)
(v) Bertadharruk (memohon doa) kepada Allah pada waktu sahur
Berdoalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan berterusan . Insyaallah segala permohonan kita pasti akan dikabulkan walaupun cepat ataupun lambat. Bersangkalah baik kepada Allah s.w.t kerana Ia amat mengasihi hamba-Nya. Kita perlu akur bahawasanya diciptakan kita di dunia ini hanyalah untuk beribadah kepada- Nya. Allah s.w.t telah berfirman ;
“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.”
(QS. Adz –Dzariyat: 56)
"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohanan kamu." [Surah Al-Mu'min : 60]
(vi) Duduk di majlis orang-orang soleh.
Biasakanlah diri menghadiri majlis keagamaan kerana ia mampu mendidik jiwa menjadi insan yang lebih baik. Begitu juga dalam pergaulan seharian, pilihlah sahabat yang mampu mendekatkan diri dengan Allah dan jauhi mereka yang suka mengadu-domba dan menabur fitnah kerana dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad s.a.w. menggambarkan seorang sahabat yang baik seperti minyak wangi yang harum lagi mengharumkan sekeliling:
“Sesungguhnya sahabat yang soleh itu umpama penjual minyak wangi. Jika kita tidak membeli darinya, tetap kita akan menghidu bau wangi darinya. Sedangkan sahabat yang jahat pula, umpama tukang besi. Walaupun tidak terkena percikan api, tetap kita merasai bahang panas dan terhidu bau busuk darinya”.
Manakala terdapat satu hadis yang menyebut mengenai kelebihan menghadiri majlis ilmu keagamaan pula ialah;
Dari Abu Hurairah ra. ia berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : "Apabila berkumpul suatu kaum dalam rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca Al Qur'an dan mempelajarinya, maka ketenangan pasti akan turun kepada mereka, rahmat Allah melingkupi mereka, malaikat-malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan makhluk yang ada didekatNya (para malaikat)." (hadis riwayat Muslim)
Cuba kita berazam untuk mengamalkan kesemua enam perkara yang disebutkan diatas, Insyaallah Allah pasti memberi ganjaran yang hebat untuk hamba-Nya. Jika tidak mampu, mungkin kita boleh melakukannya secara berperingkat kerana rahmat Allah sentiasa memayungi hamba yang ingin mencari keredhaan-Nya. Apa yang penting ialah istiqamah (konsisten) dengan usaha yang dilakukan. Berdoalah sentiasa agar Allah permudahkan usaha kita dan memberi cahaya hidayah di dalam hati. Nescaya hati semakin tenang dan segala masalah yang dihadapi walau sebesar manapun akan menjadi mudah dan tenang untuk diharungi. Insyaallah!!