Ditulis oleh : Ashraf Muslim
Ujian Allah sebagai ingatan supaya bermuhasabah serta menilai kembali perjalanan hidup
Ujian Allah sebagai ingatan supaya bermuhasabah serta menilai kembali perjalanan hidup
DULU fitnah tersebar oleh perbualan yang kemudian disampaikan, cerita sengaja direka kemudian dihebahkan atau melalui surat layang yang tiada tandatangan pengirimnya. Kini, fitnah disebar melalui teknologi canggih iaitu internet hingga payah untuk menepisnya.
Betul atau tidak, itu bukan cerita pokok tetapi secepat mana fitnah itu tersebar yang menimbulkan kerisauan kerana masyarakat tidak punya masa untuk menilai satu persatu. Sebaliknya, persepsi awal ialah ‘jika tiada angin masakan pokok bergoyang’.Bahaya fitnah ibarat mata pedang yang boleh membunuh. Sayangnya kesan fitnah tidak pernah diberi perhatian sama ada oleh pihak yang menaburnya atau yang suka-suka menjadi penyampai walaupun tidak pernah di suruh.
Saya bangkitkan isu fitnah kerana bersetuju dengan pandangan betapa sekarang mudah sungguh untuk menjatuhkan orang lain melalui cerita tidak benar, ditambah pula cara penyebaran semakin canggih dan sukar untuk mengesan pihak melakukannya. Ironinya, lebih kuat semangat seseorang itu berdepan dengan fitnah dilemparkan terhadapnya, lebih sengit pula serangan datang bertubi-tubi selepas itu terpaksa dihadapi. Ada kala, iblis tidak kacau orang itu tetapi menghasut mereka di sekelilingnya yang suka mencari kelemahan. Ini yang kita tidak perasan. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana dalam yang menyokong, tidak semua suka apa yang kita perjuangkan.
Begitu juga dalam dunia hiburan, fitnah atau bahasa manisnya ‘gosip’ ada memberi kebaikan tetapi kebanyakan masa mendatangkan kerosakan selain memberi aib kepada artis. Apa punca fitnah disebarkan, hanya pihak berkenaan yang tahu. Untuk bercerita adalah perkara biasa yang kita lakukan. Apabila berjumpa rakan dan berkumpul ramai-ramai, ada saja hendak diceritakan hingga ada kala terceritalah kisah orang lain. Maka timbul cerita tidak sepatutnya boleh merosakkan maruah pihak lain. Pembabitan saya dalam bidang perubatan Islam tidak lepas daripada cerita tidak enak yang didengar.
Masih ada suara yang terus mempertikaikan kemampuan serta kelayakan saya untuk merawat pesakit yang tidak putus-putus datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Saya hanya mampu berserah kepada Allah. Biarpun hati kecewa dengan tanggapan negatif, itu tidak melunturkan semangat saya untuk membantu mereka yang memerlukan dan saya dengan semangat yang ada, berusaha mempertingkatkan pengetahuan mendalami mukjizat al-Quran.
Hasrat saya, supaya ilmu itu dapat digunakan untuk dimanfaatkan umat Islam. Siapa saya untuk mengaku kelebihan yang ada tetapi menjadi tanggungjawab saya untuk berkongsi ilmu diperoleh supaya orang lain turut merasakan nikmat mendekatkan diri dengan kitab Allah dan menjadikan wahyu-Nya santapan harian kepada jasmani serta rohani. Disebabkan itu, di sebalik rasa terguris dengan tindakan sesetengah pihak mengaitkan kerjaya saya sebagai pelakon sebelum ini dengan pembabitan dalam bidang rawatan menggunakan ayat al-Quran, saya pasrah dan mengharapkan diberi Allah kekuatan.
Semoga berbekalkan semangat serta hasrat untuk melihat wahyu Allah dan mukjizat al-Quran terus dijadikan pedoman umat Islam, perjuangan ini akan diteruskan. Diharap niat murni saya turut dikongsi mereka yang mendapat petunjuk dan hidayah daripada keazaman mendekatkan diri dengan ilmu al-Quran yang menyimpan banyak rahsia. Bagi yang dimakbulkan Allah doa mereka supaya disembuhkan daripada penyakit dihidapi, janganlah usaha mendekatkan diri kepada Allah berakhir di situ.
Ujian Allah sebenarnya untuk mengingatkan kita supaya bermuhasabah serta menilai kembali perjalanan hidup yang kita lalui. Ia juga tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya dan tidak mahu hamba-Nya tersasar daripada syariat agama. Usaha kita berbuat baik akan ada halangannya kerana musuh Allah tidak mahu hamba-Nya mendekatkan diri dengan Penciptanya maka dilakukan apa saja supaya hamba-Nya itu berdepan pelbagai cabaran. Yang pasti, mereka yang kuat dengan izin Allah akan berjaya.
Oleh itu, jangan berputus asa dan sentiasa bertawakal kepada Allah. Bersama kita hayati sabda Baginda Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah katanya, bersabda Rasulullah SAW: “Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali). Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Sumber : berita harian 27 Jun 2011
1 comment:
sejuk mata tgk dia..dah la ensem,beragama pulak tu
Post a Comment