Wednesday, October 31, 2012

DIDIK ANAK CARA MAKAN

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


CERIA...babitkan anak dalam penyediaan makanan.

CERIA...babitkan anak dalam penyediaan makanan.



RAMAI ibu bapa berdepan dengan masalah anak sukar menjamah makanan berkhasiat sebaliknya lebih gemar mengambil makanan ringan yang bukan saja tidak memberi nutrien bagi pertumbuhan tubuh sempurna, malah merosakkan kesihatan.
Namun, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak masing-masing berminat kepada makanan berkhasiat bagi memastikan tumbesaran mereka berjalan lancar dan kesihatan terjamin.
 
  • Foto 

Menurut Pakar Pemakanan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Sameeha Jamil, terdapat beberapa tip praktikal untuk diamalkan bagi menarik minat kanak-kanak kepada makanan sihat.

Antaranya ialah mengajak anak membantu ketika ibu menyediakan makanan.

“Selain itu, sediakan makanan yang sesuai dengan umur kanak-kanak itu selain menghidangkan makanan dalam cara kreatif bagi menarik minat anak untuk makan.

“Ibu juga perlu mematuhi masa makan utama dan snek yang ditetapkan. Jangan beri anak minum susu dalam masa hampir sebelum masa makan utama kerana anak sudah kenyang dan tentu tidak mahu makan,” katanya ketika ketika menyampaikan taklimat pada kursus ‘Memupuk Pemakanan Sihat’ anjuran Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) di bawah Program Pengasuhan Positif dengan kerjasama NSM, baru-baru ini.

Sameeha berkata, si kecil juga boleh diajar erti menikmati makanan dengan mengajak mereka duduk dan makan bersama sebagai satu keluarga.

Katanya, waktu makan juga tidak perlu terlalu serius sebaliknya ia boleh dijadikan sebagai masa yang menyeronokkan melalui beberapa cara antaranya berkongsi segala cerita atau aktiviti yang sudah dilakukan sebelum itu.

“Ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak mereka mengamalkan adab yang baik ketika berada di meja makan dengan menunjukkan contoh yang baik,” katanya.

Usah pandang ringan apabila menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak termasuk ketika makan kerana semua kelakuan yang ditunjukkan ibu bapa sebenarnya menjadi ikutan anak.

Misalnya, jika mahu menggalakkan anak mengamal–kan pemakanan sihat, ibu bapa juga perlu mengambil makanan berkhasiat seperti memilih buah sebagai snek.

Anak-anak perlu diajar untuk menikmati makanan mereka, bukannya makan laju sehingga terlalu kenyang. Ibu bapa juga tidak digalakkan memberi komen negatif atau menghalang anak menikmati makanan yang tidak diminati ibu bapa kerana ia mungkin membuatkan mereka mempunyai persepsi buruk mengenai makanan.

Sameeha berkata, kanak-kanak mempunyai ruang perut yang kecil saja jadi ibu bapa perlu elak memberi anak mereka hidangan berat sehingga tiga kali setiap hari.

Namun hidangan utama yang seimbang perlu diberi sebanyak tiga kali kepada anak-anak bersama dua hingga tiga kali snek sihat, mengikut masa yang bersesuaian.

“Jangan meletak makanan terlalu banyak dalam pinggan anak dan jangan sekali-kali memaksa mereka makan kerana ia akan menyebabkan mereka mempunyai perasaan negatif yang dikaitkan dengan makanan,” katanya.

Makanan juga perlu dipilih dengan baik iaitu memberi penekanan kepada kualiti bukannya kuantiti hidangan itu. Ia secara tidak langsung membolehkan ibu bapa membuat keputusan bijak dengan menghidangkan makanan sihat kepada anak.

Selain tidak memberi penekanan kepada kuantiti makanan, ibu bapa juga disaran tidak memperkatakan jumlah makanan diambil si anak pada satu-satu masa itu bagi mengelak persepsi negatif terhadap makanan.

Bagi anak yang tidak gemar atau mengelak makan sayur, ibu bapa perlu belajar untuk ‘menyorokkan’ sayur dalam makanan mereka supaya anak dapat khasiat daripadanya tanpa mereka sedari.

Katanya, buah-buahan dan sayuran adalah dua bahan makanan yang kaya serat, sarat dengan vitamin dan baik untuk kesihatan. Kedua-duanya perlu diberikan kepada anak sejak usia kecil supaya pemakanan sihat menjadi amalan.

“Namun, buah tidak boleh dijadikan pengganti kepada sayur dan juga sebaliknya, sekalipun jika anak gemar buah berbanding sayur. Ini kerana ia dua jenis makanan yang berbeza dan anak perlu diajar mengamalkan makan sayur walaupun mereka tidak gemarkan rasanya,” katanya.

Menurutnya, begitu juga dalam menggalakkan anak makan sayur, ibu boleh menyediakan makanan yang mempunyai kuah yang dikisar bersama sayur, contohnya spageti dengan sos pasta.

“Anak juga boleh diberikan jus buah, susu kocak atau lassi kerana ia mempunyai khasiat yang baik untuk pertumbuhan diri dan sistem imunisasi.

“Makanan lain yang boleh diberi kepada anak yang sedang membesar terdiri daripada pelbagai jenis sayur, yogurt buah, daging, daging kisar, burger ayam, jejari ikan dan hidangan ayam,” katanya.

Kanak-kanak suka makan bijirin ketika sarapan, justeru campurkan beberapa jenis buah ke dalamnya seperti potongan pisang, mangga, epal, kurma dan kismis.

Bagi menaikkan selera anak-anak, hidangan nasi yang disediakan secara kreatif boleh menarik minat mereka selain makanan seperti jeli susu, puding, bubur, sup puri sayur dan puri buah dalam susu boleh diberi kepada anak.

Menurut Sameeha, antara cara yang boleh dilakukan ibu bapa supaya anak mereka menikmati makanan adalah dengan mengehadkan pengambilan cecair termasuk susu satu hingga dua jam sebelum makan.

Ini kerana katanya, minum air atau susu secara berlebihan secara tidak langsung mematikan selera anak. Inilah yang sering berlaku kerana ibu bapa memberi anak susu terlalu hampir dengan waktu makan utama dan apabila masa makan tiba, anak tidak mahu makan kerana sudah kenyang.

“Makanan yang mempunyai kandungan gula, lemak, garam dan kalori yang tinggi juga perlu dielak diberi pada anak-anak, contohnya seperti biskut, kek, coklat, ais krim dan makanan ringan.

“Kumpulan makanan ini boleh diberi sekali-sekala tetapi perlu diberi dalam jumlah kecil dan berkadar. Ini kerana anak-anak akan teringin memakannya bila mereka melihat orang lain makan,” katanya.

Jika ibu bapa mahu anak mereka sihat, cara memasak juga perlu diberi perhatian serius misalnya kaedah membakar atau memanggang perlu diamalkan berbanding cara menggoreng.

Setiap hidangan makanan juga perlu ditambah dengan sayur atau buah supaya pemakanan sihat menjadi amalan diri. Pada masa sama, minuman ringan perlu dielak sebaliknya gantikan dengan jus buah.

Aktiviti bersenam juga perlu dijadikan sebahagian daripada tabiat seharian kerana ia mampu melengkapkan amalan hidup secara sihat dalam diri anak-anak.

Sameeha berkata, bagi ibu yang berkerjaya dan tidak punya kesempatan untuk memasak makan tengah hari untuk anak, mereka boleh menyiapkan bekalan makanan yang sihat untuk dibawa anak ke sekolah.

Selain pemakanan sihat dan bersenam, ibu bapa juga perlu tahu mengukur indeks jisim badan (BMI) anak bagi mengetahui sama ada anak mereka mempunyai berat normal, terlalu kurus atau terlalu berat bagi usia dan jantina masing-masing.

Caranya dengan mengambil bacaan ketinggian dalam meter (m) dan berat anak dalam kilogram (kg), kemudian berat dibahagikan dengan kuasa dua bacaan ketinggian. Pengiraan BMI = kg/ (m x m).

Kesimpulannya, Sameeha berkata, makanan ialah komponen paling penting dalam pertumbuhan sihat anak-anak dan setiap makanan mempunyai kandungan nutrien yang berbeza. Anak-anak harus diajar mengambil makan sihat dengan mengingati empat langkah iaitu kepelbagaian, seimbang, berkadar dan makan pada masa sama yang ditetapkan setiap hari.


Panduan:




  • Kreatif dalam penyediaan makanan.
  • ‘Sorok’ sayur yang dikisar dalam kuah.
  • Jangan ganti sayur dengan buah.
  • Setiap makanan mempu–nyai nutrien berlainan.
  • Jadikan masa makan menyeronokkan.
  • Babitkan anak dalam penyediaan makanan.
  • Makan bersama anak-anak.
  • Ibu bapa jangan kritik makanan yang tidak disukai.
  • Jangan gunakan paksaan supaya anak makan.
  • Jangan sebut jumlah makanan yang diambil.
  • Elak penuhkan pinggan anak dengan makanan berat.
  • Beri snek sihat seperti buah-buahan.
  • Elak beri susu hampir dengan waktu makan.
  • Beri makan dalam masa yang tetap setiap hari.
  • Elak makanan tinggi gula, garam, lemak dan kalori.

    Sumber : klik sini
  • 1 comment:

    ieja amieja said...

    masalahnya ank2 sekarang dah besar pandai memilih..huhu