Sungguh menarik dan sebagai iktibar
buat kita mengumpul amal kebajikan
untuk dibawa pulang nanti.
RIAK PEROSAK AMAL
Allah tidak mengukur amalan hambanya berdasarkan
kuantitinya tetapi berdasarkan kualitinya.
Allah tidak menerima ibadat daripada seseorang
yang beribadat bukan keranaNya,
sebaliknya ibadat yang dilakukan adalah untuk
mengaburi mata masyarakat yang memandang.
"Dan apabila kamu melihat mereka,
tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum.
Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka.
Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar.
Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras
ditujukan kepada mereka.
Mereka itulah musuh (yang sebenarnya)
maka berwaspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?"
(Surah al-Munafiqun:4)
Berdasarkan ayat di atas,
Allah menerangkan salah satu ciri orang-orang munafik.
Mereka merupakan seorang yang hebat pada pandangan manusia
tetapi tidak pada pandangan Allah.
Mereka beribadat dan beramal soleh
bukanlah untuk mendapat keredhaan Allah
tetapi demi kepentingan sendiri.
Allah telah merakam perbuatan mereka
dengan menurunkan surah al-Munafiqun
kepada Rasulullah saw supaya Baginda dan para sahabat
berjaga-jaga dengan mereka dan menjauhi sikap mereka.
Telah menceritakan kepadaku dari Malik dari Yahya bin Said
dari Muhammad bin Ibrahim bin Al Harits At Taimi
dari Abu Salamah bin Abdurrahman dari Abu Sa'id dia berkata;
"Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda:
"Akan keluar dari kalian suatu kaum,
yang solat kalian tidak ada apa-apanya dibanding solat mereka.
Juga puasa kalian dibanding puasa mereka.
Amalan kalian dibanding amalan mereka.
namun bacaannya tidak melampaui kerongkongan mereka.
Mereka keluar dari agama ini
sebagaimana anak panah yang melesat dari busurnya.
Kamu melihat ke hujung anak panahnya
namun kamu tidak melihatnya.
Kamu melihat ke busurnya namun kamu tidak melihatnya.
Kamu lihat ke pangkal anak panah dan kamu tidak dapat melihatnya.
Kamu saling mendustakan dalam pangkal anak panah.
" Telah menceritakan kepadaku dari Malik telah sampai kepadanya,
bahawa Abdullah bin 'Umar
tetap mempelajari surat al-Baqarah selama lapan tahun."
(Riwayat Malik:428)
Rasulullah saw. telah memberi peringatan kepada kita
akan ada kaum yang kita tidak dapat tandingi solat mereka,
puasa mereka dan amalan mereka.
Tetapi segala amalan mereka itu hanyalah sia-sia,
langsung tidak diterima oleh Allah.
Inilah ciri-ciri orang yang riak dalam melakukan amal soleh.
Mereka menunjuk-nunjuk bahawa
merekalah yang paling kuat amalannya,
paling ikhlas dan paling tawadduk.
Sedangkan Allah Maha Mengetahui
akan niat sebenar mereka yang berpura-pura
ingin mendapatkan perhatian
dan pujian manusia semata-mata.
Riak bukanlah hanya pada
orang yang beramal soleh,
tetapi setiap daripada kita
boleh memiliki perasaan riak tanpa kita sedari.
Contohnya bagi orang yang berilmu,
mereka menunjukkan kepandaian mereka
dan mencari ilmu hanya untuk diperlihatkan
kepada orang ramai
betapa pandainya dia dan betapa tingginya ilmu di dada.
Lantaran jika terdapat orang yang berbeza
pandangan dengan mereka,
mereka akan cepat-cepat membalas
dengan hujah yang sangat ilmiah
dengan niat supaya orang
akan mengagumi kehebatan mereka.
Walau bagaimanapun,
sukar untuk kita ketahui niat mereka.
Hanya Allah sahaja yang
mengetahui apa yang terkandung dalam hati mereka.
Kita perlu berbaik sangka terhadap mereka
kerana jika kita berburuk sangka,
syaitan akan menyelinap
dan menghasut kita dengan hasutan yang jelek lagi jijik.
Seperti sabda Rasulullah saw.;
Telah menceritakan kepada kami
Abdullah bin Maslamah dari Malik dari
Abu Az Zinad dari al-A'raj dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw.
bersabda: "Jauhilah oleh kalian buruk sangka,
sebab buruk sangka adalah sejelek-jelek perkataan.
Jangan saling mencari tahu (aib orang lain)
dan jangan saling mengata."
(Riwayat Abu Daud:4271)
Begitulah, kita seeloknya diamkan sahaja
dan berilah nasihat yang memadai
andaikata terdapat ciri-ciri jelas orang yang riak
pada kenalan kita mahupun sesiapa sahaja.
Mencari-cari kesalahan itu ditegah oleh Rasulullah saw.
kerana syaitan selalu mengambil kesempatan atas peluang itu.
Namun, hendaklah kita jauhi sifat riak ini
kerana riak merupakan salah satu daripada pecahan syirik.
Sebagaimana sabda nabi Muhammad saw, maksudnya;
Dari Mahmud bin Lubaid dia berkata:
Telah keluar Rasulullah saw. sambil berkata,
"Wahai sekalian manusia,
jauhilah olehmu perbuatan syirik yang tersembunyi."
Para sahabat bertanya,
"Ya Rasulullah, apakah syirik yang tersembunyi itu?"
Baginda menjawab, "Iaitu seseorang berdiri menjalankan solat
lalu dia menghiasinya (memanjangkan)
solatnya dengan bersungguh-sungguh kerana manusia melihatnya.
Itulah syirik yang tersembunyi."
(Sahih Targhib wa Tarhib 1/17)
Seperti dalam hadis yang disertakan,
perbuatan menunjuk-nunjuk solat kita
kepada orang lain adalah perbuatan riak.
Selain perbuatan amal soleh,
perbuatan lain juga terdapat riak di dalamnya
jika kita tidak ikhlas melakukannya demi Allah
sepertimana hadis ini;
Dari Abu Musa al-Asyari dia berkata:
"Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah saw.
lalu bertanya, "Seorang berperang kerana marah,
seorang berperang kerana keberanian dan seorang lagi berperang kerana riak.
Manakah antara mereka yang berada di jalan Allah?"
Rasulullah menjawab,
"Barangsiapa yang berperang agar kalimatullah
menjadi tinggi maka dia berada di jalan Allah."
(Riwayat Bukhari dan Muslim, Tirmizi:1646, Ibn Majah:2783)
Jihad pada Allah juga dikhuatiri riak
jika niat kita bukan untuk memperjuang agama Allah,
dan tidak ikhlas keranaNya.
Bagi yang niat kerana selain daripada Allah
adalah amat rugi sekali amalan dan pekerjaan yang mereka lakukan.
Ini kerana mereka hanyalah mendapat pujian
dan sanjungan manusia sementara sahaja di dunia ini
tetapi di akhirat kelak
tidak menjamin kedudukan mereka bahkan mungkin
akan dicampakkan ke neraka. Wallahualam.
Elakkanlah perasaan bangga diri dan seumpamanya.
Ikhlaskanlah diri untuk Allah semata-mata.
Bimbang kita termasuk dalam golongan
yang dibicarakan oleh hadis tersebut.
"Kesombongan adalah selendangKu
dan kebesaran (keagungan) adalah sarungKu.
Maka barangsiapa melepaskan dariKu satu dari dua tersebut,
nescaya akan aku lemparkan ke neraka Jahanam."
(Riwayat Abu Daud:4090, Ibn Majah:4174)
Bagi para penuntut ilmu pula
tuntutlah ilmu dengan niat kerana Allah.
Bukan niat kerana untuk menambah koleksi sijil
lantas menampalnya di rumah,
di pejabat dan tempat lain
untuk menunjuk kepada orang lain bahawa dialah yang hebat.
Namun, jika ingin mendapatkan sijil
supaya menyenangkan proses mencari pekerjaan
yang halal demi hidup di atas jalan Allah, itu adalah diharuskan.
Sabda Rasulullah saw.;
"Barangsiapa belajar satu ilmu
yang seharusnya hanya mencari redha Allah semata,
tetapi dia tidak belajar melainkan untuk mendapatkan keduniaan,
maka dia tidak akan mendapatkan walaupun bau syurga di akhirat nanti.
(Riwayat Abu Daud:3664, Ibn Majah:252, Ahmad II/338)
"Janganlah engkau belajar satu ilmu untuk
bermegah-megah di hadapan para ulama,
mempermainkan orang bodoh serta untuk menguasai majlis.
Maka barangsiapa berbuat demikian maka apilah (nerakalah) berhak baginya."
(Riwayat Ibn Majah:254, Ibn Hibban:90, Hakim I/86)
Jom! sama-sama kita check hati kita.
Mudah-mudahan Allah perbetulkan niat dan amalan kita..
Insyaallah!
p/s - Nauzubillah..