Tuesday, January 12, 2010

IKTIBAR

MAAFKAN NATRAH, INA DAN AIDA ( Mingguan Malaysia, 13 Dis 2009)

Pada 14 tahun yang lalu, saya adalah penuntut IPTA di selatan tanah air.Saya lahir dari keluarga berada dan memiliki kereta sendiri. Senang untuk berulang alik dari rumah sewa ke fakulti. Lagak saya seperti pelajar pandai kerana penampilan saya cukup sempurna.Tetapi sebenarnya saya ialah pelajar yang lemah. Saya mengaburi mata kawan-kawan saya dengan wang yang saya ada. Hanya untuk mempunyai ramai kawan.

Saya ada tujuh kawan di rumah sewa. Tetapi Ina dan Aida selalu menjauhkan diri daripada saya. Saya dapat rasakan ada sesuatu yang disembunyikan. Lagak Ina dan Aida seperti pelajar biasa pergi kuliah tetapi mereka pulang ke rumah pukul 10 malam. Apabila ditanya mereka menjawab ke rumah kawan untuk membuat tugasan kuliah. Akhirnya, saya bersama kawan rumah sewa yang lain mengintip mereka berdua. Rupa-rupanya mereka membuat kerja sampingan di kedai dobi.

Saya sebagai ketua dan kawan-kawan yang lain telah bersubahat hendak mengenakan mereka berdua. Saya telah merakam pergerakan mereka berdua. Kemudian saya dan kawan-kawan sebarkan cerita kepada kawan-kawan lain di fakulti bahawa Ina dan Aida terpaksa bekerja di kedai dobi untuk menyara kehidupan mereka. Kedua mereka sangat malu dengan kenyataan yang lengkap dengan bukti gambar. Kesannya, kawan-kawan yang lain memulaukan mereka kerana takut diejek pekerja dobi.

Selepas tamat pengajian, dengan pengaruh dan kuasa yang ada pada ayah dan ibu, akhirnya saya mendapat kerja dan berkahwin dengan jutawan. Tetapi badai melanda kehidupan. Saya dikurniakan 4 orang anak tetapi mereka cacat tangan dan bisu. Anak-anak selalu mengadu kawan-kawan di sekolah selalu mengejek mereka. Saya sangat sedih.

Keluarga saya, suami, mentua serta kawan-kawan mula menjauhkan diri. Saya sangat tertekan. Saya mengambil keputusan untuk menunaikan umrah. Anak ditinggalkan kepada pengasuh. Disana Allah telah tunjukkan kepada saya suatu ketentuan.

Datang seorang lelaki peniaga tamar menyapa saya supaya berkongsi masalah dengannya. Saya akur dengan permintaannya. Setelah menjelaskan masalah saya, peniaga terbabit bertanya kepada saya, "Adakah suatu ketika dulu anak telah menggunakan tangan serta mulut untuk menjatuhkan atau menganiayai orang lain? Jika benar, pakcik rasa inilah balasan Allah atas perbuatan anak dahulu.Sebab itulah anak dikurniakan anak-anak yang cacat. Tetapi anak masih ada peluang untuk bertaubat. Pergilah memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang anak telah aniaya atau jatuhkan maruahnya. Sama ada kawan-kawan anak melakukan kesilapan atau tidak. Anak tidak sepatutnya bercerita keaiban orang kepada masyarakat atau orang lain. selagi masyarakat atau kawan-kawan anak tidak memaafkan, selagi itulah Allah tidak menerima amalan anak".

Ya Allah, inikah balasanmu terhadap aku atas perbuatan menjatuhkan maruah Ina dan Aida dulu. Setelah kembali ke Malaysia saya mencari Aida dan Ina tetapi tidak ketemu.Maka di ruangan ini saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Aida dan Ina, pelajar Uitm 1995, atas perbuatan saya dahulu menjatuhkan maruah anda berdua.Tolonglah maafkan kesilapan saya agar saya dan anak-anak dapat meneruskan kehidupan tanpa ejekan, asakan atau pemulauan dari orang sekeliling.

Daripada : Natrah, Kuala Lumpur

Saya memaparkan kisah benar diatas bukanlah untuk membuka aib sesiapa tetapi sebagai tauladan dan sempadan buat kita. Kepada sesiapa jua insan yang suka bergosip, mengata atau mengumpat jadikan cerita di atas sebagai sempadan. Setiap manusia diciptakan dengan kelemahan tersendiri. Jangan tutupi keaiban diri dengan membuka keaiban orang lain. Kelak Allah bukakan keaiban diri kita tanpa dapat berselindung.

Jua kepada mereka yang pernah diaibkan, dianiayai dan dijatuhkan, yakinlah lambat-laun pasti Allah akan membela nasib kita. Kerana Allah maha mengetahui, berkuasa dan Maha Bijaksana. Dia yang mengatur perjalanan hidup kita. Mentakdirkan segalanya ke atas diri kita seperti dalam firmanNya;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" al-Baqarah: 216

semoga hari ini lebih baik dari semalam. Semoga hidup kita beroleh petunjuk, hidayah, keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t.Insyaallah!

No comments: