Sunday, November 6, 2011

Sentiasa buat baik, khusyuk berharap rahsia doa dimakbul

2011/08/14

Soalan: 
USTAZ, saya selalu berdoa setiap kali sesudah solat. Namun bagaimana cara menjadikan doa kita dimakbulkan Allah. Mungkinkah doa kita akan ditolak walaupun doa yang kita mohon itu baik. 
HAMBA ALLAH, Kulim, Kedah.
Jawapan: 
ALHAMDULILLAH wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d. Allah SWT mahu agar manusia mengucap, “Ya Allah Ya Rabbi Ya Tuhanku” supaya manusia memperoleh pahala. Namun ucapan itu hendaklah lahir dari hati yang ikhlas dan dengan sukarela. Perlu diingat, mungkin seseorang memohon sesuatu yang menurut sangkaannya baik, tetapi menurut Allah akan mendatangkan keburukan bagi dirinya. Manusia memohon kekayaan, kalau diberi dapat merosakkan dirinya dan menjauhkannya dari Allah. Kekayaan yang diberikan kemudian digunakan untuk melanggar ketentuan atau hukum Allah. 

Allah berkeinginan menjaga dan melindungi hamba-Nya, memberi kurniaan pahala akhirat dan kebahagiaan syurga. Suatu ketika, seseorang yang mengikuti satu rombongan pelancongan menyesal kerana bas yang hendak dinaikinya terlepas. 

Namun beberapa ketika, dia mendapat berita bas yang mahu dinaikinya itu terbabit kemalangan mengerikan. Ternyata gagalnya tadi sebenarnya ada hikmah, sebab jika dia berada bersama rombongan dalam bas, maka dia juga akan mendapat kecelakaan. 
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 216: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik kepadamu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” 

Pada umumnya manusia melihat dunia dari sudut lahiriah saja, tidak sampai kepada hakikat. Manusia lupa akan kewajipan dalam menuntut haknya (memohon dalam berdoa). 

Bagaimana kewajipan yang seharusnya dipenuhi oleh manusia dalam berdoa. Perkara terbabit dijelaskan oleh Allah SWT ketika nabi-nabi memohon doa kepada-Nya dan doa itu dikabulkan Allah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 90 yang bermaksud: “Bahawasanya mereka adalah orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang khusyuk kepada kami.” 

Doa Nabi dikabulkan Allah kerana Nabi menyandang tiga sifat sebagai syarat dikabulkan doa. Pertama, selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan baik. Kedua, berdoa dengan (perasaan) harap dan cemas kalau doanya tidak dikabulkan. Ketiga, khusyuk, tunduk dan patuh kepada Allah. 

Demikianlah, wallahua’lam. 

sumber : berita harian.

Bersungguh mencari keikhlasan mampu kikis perasaan riak

Jawapan disediakan oleh Ustaz Zahazan
bminggu@bharian.com.my
2011/10/23


Soalan: BAGAIMANAKAH caranya menghilangkan riak? Ketika mahu ke masjid untuk solat, kadangkala terdetik di hati saya untuk orang lain melihat saya. Begitu juga ketika saya mahu memasukkan duit ke tabung masjid, terasa dalam diri agar orang lain melihat. Saya sangat risau semua ibadat yang dilakukan tidak diterima Allah SWT. 


Nawawi,

Sungai Penchala, Kuala Lumpur.Jawapan: ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d. Sebagaimana diketahui bahawa penyakit riak atau berbuat sesuatu kerana mengharapkan agar dilihat dan dipuji manusia, bukan mengharapkan keredaan Allah adalah penyakit berbahaya yang boleh menimpa sesiapa saja, sama ada di kalangan ulama mahupun orang awam. Riak adalah syirik kecil, tapi termasuk antara dosa besar. Seseorang yang melakukan kebaikan diiringi perasaan riak, maka amalan itu gugur dan tiada pahala, bahkan akan mendapat dosa akibat perbuatan riak itu.


Lawan riak adalah ikhlas. Betapa berat dan sukarnya ikhlas ini sehingga seorang ulama pernah berkata: “Aku tidak pernah susah payah melebihi kemampuanku untuk sentiasa ikhlas.” Walaupun demikian, bukanlah bererti ikhlas itu tidak boleh dicapai. Ia boleh dicapai oleh mana-mana orang Islam yang mahu bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan niatnya. Dalam hal ini, ada beberapa perkara perlu diperhatikan agar dapat meraih keikhlasan berkenaan;


  • Pertama – memahami dan sentiasa berusaha mengingati kedudukan ikhlas bagi sahnya sesuatu amal. Tanpa keikhlasan, kebaikan yang diusahakan menjadi sia-sia. Perkara ini hendaklah diperhatikan ketika, sedang, bahkan sesudah melakukan kebaikan, lebih-lebih lagi berkaitan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.



  • Kedua – berusaha untuk sentiasa memahami serta mengingati besar dan bahayanya dosa riak. Riak juga sangat hampir dengan bangga pada diri sendiri (ujub) serta sombong dan kesombongan itu sangat dekat dengan kekufuran. Lihatlah iblis yang enggan sujud hormat kepada Nabi Adam, akhirnya kufur dan dimurkai Allah SWT. Dalam hadis sahih riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada rasa sombong walaupun sebesar zarah.”




  • Ketiga – bergaul dengan rakan yang soleh. Suasana dan kumpulan rakan yang baik akan mendorong seseorang melakukan kebaikan dan malu melakukan keburukan, kemungkaran serta maksiat. Selain itu, dia juga dapat belajar mengenai makna keikhlasan. 


  • Keempat – keikhlasan itu hendaklah dilatih dan dibiasakan sebagaimana pepatah ‘alah bisa tegal biasa.’ Orang yang ikhlas dalam beramal, meskipun dalam keadaan sukar akan mendapat ketenteraman dan ketenangan hati. Mungkin dia tidak memperoleh tepuk tangan dan kekaguman orang lain, mungkin juga orang lain akan mencemuh dan meremehkan dirinya, namun kelazatan iman dan keikhlasan membuatkan hatinya tenteram sehingga iman makin kukuh dan yakin kepada Allah Rabbulalamin. 

    Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada syirik, kufur, sombong dan riak dalam segala macam bentuk. Semoga Allah SWT mengurniakan kita keikhlasan baik dalam bentuk lisan serta perbuatan. Amin.



  • Sumber : berita harian
  • Saturday, November 5, 2011

    SELAMAT BERSALIN

    Salam..

    Alhamdulillah saya telah selamat melahirkan anak perempuan pada 26 Oktober 2011 lepas. Betul-betul pada Hari Raya Deepavali.. hahaha..Namun begitu saya amat bersyukur kerana kelahiran anak yang kedua ini dipermudahkan Allah s.w.t. Banyak doa yang saya panjatkan kehadrat Allah s.w.t, diantaranya saya berdoa semoga dapat anak perempuan (doa ini sebelum mengandung lagi :)), kedua doa semoga diringankan beban kesakitan semasa melahirkan, seterusnya saya berdoa semoga bersalin pada tarikh tidak jauh dari jangkaan iaitu pada 24 Oktober 2011 dan yang terakhir sekali saya berdoa agar suami berada disisi sepanjang proses kelahiran. Alhamdulillah semua doa diatas dikabulkan oleh Allah s.w.t. 


    Pada awal kehamilan saya berniat semoga saya dapat menghabiskan senaskah al-quran, namun hajat tidak kesampaian. Namun begitu saya selalu mengamalkan membaca surah Maryam, At-Taubah dan Yasin. 3 surah ini saya selalu dibaca memandangkan saya tidak sempat menghabiskan 30 juzuk al-quran. Alhamdulillah! kelahiran yang kedua ini dipermudahkan dan diberi kesihatan yang baik oleh Allah s.w.t. 


    Kebetulan pula tarikh kelahiran anak yang kedua ini tidak jauh beza dengan tarikh hari lahir anak yang pertama iaitu pada 2 Nov 2008. Jadi, nextyear birthday mereka boleh diraikan sekali. Betul tak? (hmmm.. abahnya tersenyum lebar sambil menggosok-gosok kocek seluar).


    Anak yang kedua ini diberi nama Qaisara Azzahra. Nama Qaisara diambil sebab selalu membaca blog Norhayati Berahim (hahaha..). Manakala Azzahra pula diambil sempena gelaran puteri kesayangan Rasulullah s.a.w iaitu Fatimah Azzahra. Maksud Qaisara Azzahra iailah Permaisuri Berkilau-kilauan @ permaisuri bunga. Gambar anak? insyaallah akan diupload bile USB kabel hp saya dijumpai.. hehehe.. Sekian.

    Friday, November 4, 2011

    PANDUAN MENDIDIK ANAK

    Artikel-ini-diambil-dari-fb-yang-dikongsi-oleh-salah-seorang-rakan.


    1) Jangan pukul anak dari lutut keatas


    2) Jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita utk memukul anak dengan tangan dan jangan sesekali menampar anak pakai tangan kita. nanti anak jadi bertambah degil dan nakal dan tak boleh control

    3) Rotan/pukul anak di telapak kakinya . Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak

    Sabda Rasulullah s.a.w.

    “Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”

    4). Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).

    5). Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)

    6). Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)

    7). Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

    8). Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkaratermasuklah berbuat silap.

    9). Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).

    10). Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

    11). Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)

    12). Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.

    13). Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

    14). Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

    15). Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

    16). Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

    17). Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.

    18). Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

    19). Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,

    20). Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

    21). Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

    22). Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

    “Anak- Anak ibarat kain putih. Ibu bapa lah yang mencorakkannya menjadi yahudi, nasrani atau majusi”



    Thursday, October 20, 2011

    Bahaya fitnah dalam hidup


    SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.
    Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.


    Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: "Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid." (riwayat Ahmad)


    Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.
    Bak kata pepatah "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya".


    Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
    Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)
    Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).
    Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.


    Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)
    Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.


    Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.


    Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.
    Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.
    Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, "Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut".


    Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.
    Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.
    Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: "Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a..."



    sumber:--utusan

    Thursday, October 13, 2011

    SYUKUR PADAMU

    Sungguh saya berasa amat bersyukur ke hadrat Allah s.w.t yang telah memberi kekuatan (yang agak luar biasa) dan kesihatan yang baik di akhir-akhir ini. Hampir 3 minggu saya bertungkus-lumus menyiapkan segala tugas yang akan ditinggalkan kepada rakan sejawat. Alhamdulillah! hampir 99% kerja saya telah pun diselesaikan. Harap ia tidak membebankan guru pengganti yang akan menyambung tugasan saya selama 3 bulan di IKMKL. Insyaallah! minggu hadapan saya akan cuti bersalin dan tarikh jangkaannya adalah 2 hari sebelum Deepavali. Doakan saya semoga selamat bersalin untuk anak yang kedua ini. Semoga dipermudahkan segala urusan oleh Allah s.w.t. 


    Saya juga memohon maaf kepada pembaca blog saya, ingat ke blog ini tiada pembaca setia rupa-rupanya ada. Saya agak mungkin tak ramai, namun Alhamdulillah!. Terima kasih kepada rakan sahabat maya yang sudi singgah di ruangan saya ini. 


    Sepanjang saya hamil anak yang kedua ini, ramai yang bertanya
    "Dah scan baby belum?". Jawapan saya 
    "Dah, tapi tak nampak jantina". Kebanyakannya akan membalas begini 
    "Oh! biasa kalau tak nampak mesti perempuan". Dalam hati saya berbunga riang sebabnya hampir 'sebeban' dah baju warna pink yang berambu-rambai siap dibeli... muahaha... Tambahan lagi, instinct saya kuat mengatakan perempuan. Harap ia menjadi kenyataan. Amin. Namun, kalau ditakdirkan lelaki saya suka aje, siapa yang tak sayang anak kan?... hahaha... Yang penting sihat dan menjadi hamba Allah yg bertaqwa. Insyaallah!

    Friday, October 7, 2011

    IKHLAS BERIBADAT

    Sumber : berita harian -2011/10/07


    UMAT Islam diingatkan oleh Allah SWT bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. 

    Saidina Ali berkata: “Hai dunia, tipulah orang lain selain aku. Aku telah menceraimu dengan talak tiga. Umurmu pendek, perhiasanmu sulit dan bahayamu sangat besar. Betapa sedikit bekalku, betapa panjang perjalananku dan betapa sunyi jalanku.”
    Justeru, dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT, manusia dapat digolongkan kepada dua golongan. Pertama, mereka yang taat dan patuh menjalankan perintah Allah SWT dan kedua, mereka yang ingkar dengan ketentuan serta ketetapan Allah SWT.
    Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan dua golongan itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; adakah kedua-dua golongan itu sama keadaannya, maka tidakkah kamu mengambil peringatan.” (Surah Hud, ayat 24) 

    Orang yang beriman menyerahkan kehidupan kepada Allah SWT. Mereka lebih mementingkan keredaan Allah SWT daripada bermewah dengan kehidupan dunia, menjaga solat, menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tidak berguna. 

    Menafkahkan harta mereka ke jalan Allah SWT, menjaga kemaluan atau kehormatan daripada kemungkaran, tidak melampaui batas dalam bertindak dan sentiasa menjaga amanah. Sebaliknya bagi yang ingkar dan maksiat, mereka berpegang teguh dengan tali syaitan yang menguasai kehidupan mereka. 

    Firman Allah SWT yang bermaksud: “Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah, bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.” (Surah al-Mujadalah, ayat 19) 
    Musuh Allah SWT iaitu syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ke lembah maksiat, dengan lisan ataupun perbuatan. Cara lisan lebih penting daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. 

    Saidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW amalan yang dapat memasukkan ke syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda: “Hendaklah kamu menjaga ini. Selanjutnya Baginda bersabda: Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita perkatakan.” 

    Allah SWT menyingkap rancangan musuh-Nya sebagai pintu masuk yang merosakkan manusia antara lain, ajakan kepada kejahatan, menanam rasa takut miskin, menyemai nilai dusta, menanamkan permusuhan antara individu, keluarga dan masyarakat. 

    Mencegah daripada mengingati Allah SWT dengan kesenangan atau kesulitan, menghalalkan apa yang diharamkan Allah SWT, menanam rasa putus asa, takjub, ego, takbur, memperbanyakkan harta untuk sekadar disimpan bukan kepentingan umum. 

    Hasil daripada Allah SWT menyingkap pintu musuh Allah ini, maka lahirlah manusia terpaut dengan ajakan serta bisikan yang mendatangkan kerosakan pada kehidupan manusia itu sendiri. Dengan godaan, akhirnya ramailah manusia bergabung menjadi pengikut kemaksiatan ini. 

    Bagi menutup pintu maksiat, hendaklah kita sedar dan insaf bahawa pintu taubat sentiasa terbuka. Mereka yang ingin bertaubat dan hidup tanpa maksiat hendaklah ikhlas serta menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT untuk mengelak diperhambakan hawa nafsu. 

    Dalam kehidupan hari ini ramai menghadapi penyakit hidup bermaksiat. Ingatlah, kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes jenayah, pembunuhan, penindasan, membunuh diri, kejahatan, kezaliman adalah perbuatan yang dipengaruhi hawa nafsu. 

    Mereka yang menjadikan nafsu sebagai petunjuk kehidupan akan gagal, resah kerana diburu rasa bersalah kepada Allah dan diri sendiri. 

    Marilah kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menutup pintu maksiat dan mengingati akhirat supaya kita sedar hakikat kehidupan. 

    Wednesday, September 21, 2011

    WARKAH Aa GYM KEPADA BUSH


    Saudara Bush, ketika kami menyaksikan peralatan mesin perang Anda dipertontonkan di media dunia, berdiri bulu roma kami, bergetar keras perasaan kami. Terbayang di pelupuk mata, ketika mesin-mesin pembunuh ini beraksi, potongan-potongan tubuh akan berhamburan, darah bersimbah di mana-mana mengalir dari sungai, jeritan dan lolongan orang-orang yang terpanggang di rumahnya yang hangus terbakar, juga lolongan orang yang tertimbun bangunan yang kau runtuhkan. Terbayang anak yang menangis mengais jasad bapaknya yang tak utuh. Terbayang seorang ibu yang bersimbah air mata dan darah, menggengam anaknya yang telah lunglai tak bernyawa. Prahara di mana-mana, bala bencana kemanusiaan yang mengerikan.


    Wahai Saudara Bush, inikah yang engkau inginkan. Inikah kemenangan yang kau idam-idamkan. Dimana nuranimu? Untuk siapakah engkau lakukan ini. Untuk dunia? Sudah kita saksikan dunia tidak ada yang setuju dengan kekejian ini. Untuk bangsa dan rakyat Amerika? Kami pun sudah menyaksikan rakyat Anda tidak setuju. Dan apakah jikalau dengan melakukan ini Amerika akan menjadi aman? Jusru sebaliknya, perilaku Andalah yang membuat anda dibenci di dunia ini. Kebencian itulah yang membuat Anda tidak aman dan rakyat anda tidak akan aman.


    Saudara Bush, Jikalau Anda menginginkan keselamatan bagi rakyat Anda, sepatutnya anda pimpin agar negara anda menjadi negara yang anda cintai oleh negara lain di dunia ini. Dan cinta tidak bisa diperoleh dengan hamburan darah dan tebaran mesiu. Cinta hanya akan diperoleh kalau Anda benar-benar menegakkan keadilan di dunia ini.


    Saudara Bush, kita hidup sama-sama satu kali di dunia ini. Sejarah akan mencatat kemuliaan hanya dimiliki oleh orang-orang yang menebarkan kedamaian, kasih sayang, dan dicatat dengan tinta emas. Sejarah menunjukkan, orang-orang yang menebar kematian, pembantaian, dicatat dengan tinda darah. Andaikata kematian menimpa kepada kita, dicatat dengan tinta apakah nama Anda?

    Dari seorang manusia di bumi yang amat prihatin dengan perilaku Anda.

    Abdullah Gymnastiar - rakyat Indonesia

    sumber : klik sini

    Wednesday, September 14, 2011

    PENYEJUK HATI


    Kali ini saya ingin berkongsi gambar-gambar bayi
     yang sungguh comel dan mengujakan hati. 
    Mereka seputih salju, sebersih kapas
     dan ciptaan Allah yang terindah. 
    Mereka adalah anugerah yang amat berharga 
    tidak ternilai buat kita sebagai ibubapa. 
    Semoga kita dapat mencorak mereka
     menjadi ahli syurga di akhir nanti. 

    Insyaallah!!








    P/s - comelkan?.. 

    Monday, September 12, 2011

    HIKMAH DISEBALIK SAKIT

    Hampir 5 hari saya demam, batuk dan selsema yang agak teruk. Sudah agak lama saya tidak sakit begini, seingat saya kali terakhir ialah tahun lepas yang mana saya mengalami demam denggi hampir seminggu. Namun ujian yang dihadapi pada kali ini agak berat juga memandangkan suami dan anak turut mengalami demam yang sama. Tengahari Jumaat lepas anak saya Aqil terpaksa dimasukkan ke dalam wad kerana suhu badan mencecah 40 darjah celcius. Namun begitu, alhamdulillah kerana kakak saya yang tinggal berhampiran sudi datang menjenguk hampir setiap hari.. Begitu juga  dengan adik saya seorang lagi tiba dari kampung halaman untuk menjaga anak yang berada di wad.


    Keadaan anak semakin baik selepas diberi suntikan antibiotik dan ubat. Atuk dan nenek yang sangat risaukan kesihatannya, tiba-tiba sahaja muncul pada pagi keesokan harinya. Dia dibenarkan keluar wad selepas semalaman berada di Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah. Namun, demam masih belum sembuh walaupun hari ini masuk hari yang ke-5. Entah apa virus yang menyerang keluarga kami. Biasanya kami demam tidak lebih dari 3 hari namun kali ini virus yang menyerang kami memang agak kebal.


    Namun, saya yakin disebalik ujian yang menimpa keluarga kami terselit seribu hikmah. Saya sedari bahawa setiap kekuatan yang kita miliki pada saat ini adalah pemberian Allah. Ingat! setiap benda walaupun sangat simple. Sebagai contoh kekuatan untuk melihat. Sepanjang sakit, saya tidak mampu memandang cahaya. Walaupun sekadar cahaya tingkap. Rumah dibiarkan bergelap dan ditutup dengan langsir tebal. Subhanallah! sebelum ini saya memang tidak sukakan gelap. Itulah nikmat yang ditarik Allah buat seketika. 


    Apatah lagi hendak berfikir  panjang, itu pun tak mampu kerana kepala terlalu sakit dan pening.  Solat pun tak berdaya dilaksanakan dengan keadaan berdiri kerana tubuh terlalu sakit. Saya hanya mampu solat secara duduk itupun sangat sekejap kerana tidak larat. Masyaallah! saya sedar betapa ruginya kalau kita solat secara lalai selama ini sedangkan Allah telah bagi  kekuatan untuk mengerjakannya secara sempurna.


    Benarlah segala nikmat yang Allah berikan sewaktu kita sihat sebenarnya terlalu banyak. Nikmat makan, minum, merasa, bernafas, melihat, tidur, bangun, duduk, berfikir, mengangkat, berjalan, berlari dan segala-galanya adalah sesuatu yang amat besar dan jarang kita syukuri.  Bertapa bersyukurnya saya kembali sihat walaupun belum sepenuhnya. Semoga Allah memberi keampunan kepada saya yang selama ini lupa dan lalai untuk bersyukur kepada-Nya. 

    Wednesday, September 7, 2011

    SEMUA DEMAM

    Hari ini saya kuatkan semangat untuk pergi kerja memandang mc sampai semalam sahaja. Namun, menjelang tengahari batuk mula menyerang dan saya terasa sungguh tidak berdaya. selepas memberikan sedikit tugasan kepada pelajar saya pergi ke klinik berdekatan. Alhamdulillah doktor memberi cuti rehat untuk hari ini. Dapatlah saya pulang untuk berehat memandang batuk saya semakin teruk. 

    Namun, sebaik sahaja sampai dirumah, pengasuh menghantar mesej memberitahu Aqil pulak demam. Saya terus pergi mengambil dia kerana risau akan berjangkit kepada kawan-kawan kecilnya yang lain. Ingat dapatlah saya berehat dengan tenang tetapi tidak begitu. Aqil asyik merengek kerana suhu badannya yang agak tinggi. Saya memujuk beliau  makan ubat namun ditolaknya. Habis gaya dan helah difikir untuk memberi ubat kepadanya tetapi ditolak mentah-mentah. Saya biarkan dia tidur dahulu agar nanti dia akan lapar dan minta susu. Namun sampai petang nampaknya dia masih tidak mahu minum. Mungkin tekaknya sakit atau panas. Saya agak begitu. Harap sekejap lagi dia akan bangun dan minum susu yang terpaksa dicampur dengan ubat. 

    Abahnya pula mula mengalami simptom-simptom demam yang sama. Ya Allah! kuatkanlah semangat saya untuk menghadapi semua ujian ini. Semoga Allah s.w.t memberi pertolongan kepada hamba-Nya yang lemah dan tidak berdaya ini. Amin.

    Tuesday, September 6, 2011

    BUKAN SEKADAR DEMAM

    Semalam hampir sehari suntuk saya mengalami demam yang agak teruk. Ia bermula pada awal pagi lebih kurang jam 1.00 pagi yang mana saya sudah terasa tidak sedap badan. Saya terus menelan 2 biji panadol. Telahan saya demam akan berkurangan menjelang pagi esok, namun ia meleset. Demam semakin kuat menjelang tengahari dan memaksa saya meminta suami pulang awal dari tempat kerja. Jam 2 petang suami sudah tiba dirumah, badan terasa sungguh lemah sampaikan saya hampir tidak mampu untuk berjalan. Perjalanan ke klinik KITA yang terletak di Desa Pandan yang jaraknya hanya 2 kilometer terasa amat jauh. Seluruh tubuh terasa sungguh sakit terutama apabila tayar kereta menaiki bumper. 

    Itulah salah satu nikmat kesihatan yang ditarik Allah buat seketika. Saya sedar bahawa begitu besarnya erti sebuah nikmat kesihatan yang diberikan Allah kepada saya selama ini. Segala kemewahan dan kesenangan dunia sudah tidak bererti. Apa yang terfikir dibenak saya hanyalah saya mahu Allah sembuhkan segala penyakit saya ini. Segala masalah dan kerisauan yang menguasai diri sebelum ini terus terpadam kerana saya hanya inginkan nikmat sihat. Itu sahaja. 

    Hari ini alhamdulillah walaupun badan saya masih belum sihat sepenuhnya, saya rasa amat bersyukur kerana ia lebih baik dari semalam. Saya yakin ujian  ini adalah untuk menyedarkan diri kita bahawa segala nikmat yang diberi pada saat ini mampu ditarik Allah dalam sekelip mata sahaja. Oleh itu, sama-samalah kita sentiasa bersyukur kepada Allah akan segala nikmat yang dikecapi pada hari ini. 

    Thursday, August 25, 2011

    BISKUT RAYA BERGAMBAR GEREJA

    Minggu lepas, kami sekeluarga bershopping barangan dapur di Carrefour, Axis Atrium, Ampang. Dalam pada itu kami sempat meninjau biskut raya yang boleh dijadikan kudapan selepas berbuka. Kebetulan ada promosi yang agak menarik. Satu bekas kuih raye harganya RM9.Jenama biskut itu ialah my biscuit. Jika beli 2 bekas percuma 1. Kami rembat satu sahaja sebab risau takut kalau biskut itu akan dibuang begitu sahaja. Maklumlah biskut yang harganya agak murah ni biasenya kurang sedap.. hahaha... (tapi beli juga, mane tahu kot-kot jumpe yang sedap). 


    Jadi malam selepas berbuka kami terus merasa biskut itu. Coklat luarannya agak sedap tetapi rase biskutnya biase sahaja. Namun apa yang mengejutkan kami ialah gambar yang ditampal pada bekas seolah-olah gambar masjid. Bila husband saya perhatikan betul-betul, rupanya ia adalah gambar gereja yang terang-terangan ada  salib. Kami terus jadi tak lalu nak makan. Adui! Rasa sudah serik untuk membeli kuih raye sembarangan ini. Mungkin ini peringatan kepada kami agar berhati-hati memilih kuih raya selepas ini..


    Gambar yang ditampal di bekas biskut tersebut adalah gambar gereja berikut :



    Gambar gereja yang sebenar.



    Gambar yang telah diillustrasikan. 
    Haa..kalau sekali pandang nampak macam masjidkan ??




    p/s- Baik tempah jea la takpun cari kat kedai kek dan biskut orang islam punya.. 
    konfem suci dan halal..

    Monday, August 22, 2011

    DOA TUNGGU BERBUKA PUASA MUSTAJAB


    Manfaat Ramadan minta bantuan, petunjuk Allah

    KEMERIAHAN bulan puasa di negara kita dikaitkan dengan penganjuran bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dari satu sudut, ia memberi kemudahan kepada mereka yang tidak sempat menyediakan makanan dan membuka peluang perniagaan. 

    Namun, yang tidak sedapnya apabila bazar Ramadan terlalu menjadi tumpuan hingga menghilangkan hikmah di sebalik perintah umat Islam berpuasa yang menuntut mereka mengawal diri daripada makan, minum serta melakukan perkara membatalkan puasa.
    Pada masa sama, adanya bazar Ramadan yang terlalu banyak bilangannya menjurus kepada pembaziran. Maklumlah, apabila rambang mata, kita lebih cenderung mengikut nafsu ketika membeli tetapi tiba masa makan, banyak mana sangat yang terlarat.
    Terlalu memikirkan juadah yang sudah dibeli untuk berbuka puasa juga menyebabkan kita lupa mengambil kesempatan memohon doa sebelum masuknya waktu berbuka puasa atau azan Maghrib, iaitu waktu mustajab berdoa. 

    Sementara menanti alunan azan, sebaiknya waktu lima minit direbut bagi memohon hajat kepada Yang Maha Esa. Alangkah ruginya jika waktu itu dibazirkan dengan berbual kosong atau hanya menonton televisyen. 

    Sepanjang Ramadan langit dibuka setiap saat, pintu syurga dibuka seluas-luasnya sementara pintu neraka ditutup. Justeru, mintalah apa saja yang kita hajatkan kerana dengan izin Allah, permintaan itu akan dimakbulkan. 


    Jika kita belum pernah berdoa sementara menanti waktu berbuka, dalam minggu akhir Ramadan ini, marilah jadikan ia amalan wajib. Luahkan segala apa yang terbuku dalam hati, mudah-mudahan Allah memakbulkan permintaan kita. 
    Begitu juga apabila menjamah juadah, hendaklah dilakukan mengikut tertib, jangan terlalu gelojoh walaupun tidak dinafikan sudah penat seharian kita menahan nafsu makan. Sebaiknya dimulakan dengan makan kurma mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kemudian berhenti sekejap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menikmati juadah berat bagi menjana tenaga untuk menunaikan tarawih. 

    Bagi mereka yang menghidap penyakit, pastinya perlu berhati-hati di bulan puasa ini supaya kesihatan terpelihara. Tambahan pula bagi yang berkemampuan berpuasa, akan berdepan cabaran hebat. 

    Rasanya banyak kali sudah saya ulangi, yang penting ialah mereka perlu reda dengan ujian penyakit yang Allah datangkan kerana Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan mereka. 

    Dari aspek penyembuhan pula, itu semua terserah kepada Allah kerana jika esok kata-Nya seseorang itu sembuh daripada penyakit, maka esok datang berita baik itu dan begitu juga jika sepuluh tahun lagi, selama itulah seseorang itu perlu mengharunginya. 

    Namun, walaupun tempoh ditetapkan, kita hendaklah reda, berusaha, yakin dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Kata kuncinya ialah kesabaran dan bagi sesetengah kita, sabar ada hadnya yang akhirnya menyebabkan mereka berputus asa. 

    Lagi satu, hendaklah yakin dengan mukjizat al-Quran bagi yang beramal dengan al-Quran sebagai kaedah rawatan. Ada yang mengharap cepat sembuh dan apabila hasilnya tidak seperti diharapkan, mereka mengambil keputusan mencuba kaedah lain pula. 

    Berdasarkan maklum balas daripada mereka yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, 90 peratus memberitahu dapat merasai perubahan walaupun sedikit selepas mengamalkan surah yang diberi. 

    Jika dulu kebas lima jari, sekarang tiga jari sudah boleh digerak-gerakkan. Dulu sakit tengkuk disebabkan gangguan, sekarang sudah boleh tidur dengan selesa. Seperti saya kata, kita hanya berusaha tetapi semua terserah kepada Allah yang lebih Mengetahui. 

    Saya juga maklum dengan aduan sesetengah pihak yang datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang terpaksa menunggu lama, kami berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan sebarang kelemahan harap dapat dimaafkan. 

    Mungkin ada yang sedang menanti temu janji yang sudah dibuat. Sementara menanti, anda juga boleh mengamalkan ayat al-Quran yang umum untuk penyakit tertentu seperti surah al-Israk, ayat 40-45 bagi penyakit jantung. 

    Untuk penyakit kencing manis boleh baca surah al-Anbiya, ayat 62 hingga 73 dan bagi penyakit saraf atau tulang boleh amalkan surah al-Mukminun, ayat 60 hingga 80. 

    Semoga kesungguhan kita menjiwai mukjizat al-Quran pada Ramadan yang menjanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka, Allah meringankan ujian yang diberi kepada kita dan beroleh kesihatan diharapkan. 


    sumber : Berita harian

    Friday, August 19, 2011

    SEDIKIT IMBUHAN

    Pengumuman Perdana Menteri mengenai imbuhan hari raya amat mengujakan kami kakitangan kerajaan. Alhamdulillah, nampaknya raya tahun ini melegakan ramai pihak memandangkan harga barangan yang semakin meningkat dan keperluan yang bertambah terutama menjelang Syawal nanti. 

    Namun begitu kakitangan MARA agak 'frust' sedikit apabila memperolehi pekeliling MARA yang menyatakan bayaran bonus akan dibuat selewatnya-lewatnya pada 22 Ogos 2011. Aisey! Ini bermakna hanya tinggal seminggu sahaja untuk membuat persediaan menyambut hari raya. Ini pastinya menyebabkan ramai yang hanya mampu mengigit jari melihat jualan raya yang semakin menggila terutama menjelang Aidilfitri.



    Syukur alhamdulillah,  perasaan 'frust' itu berakhir jua apabila rakan sejawat mengumumkan gaji dan bonus untuk kakitangan MARA telah dimasukkan pada hari ini iaitu 19 Ogos 2011. Semua tersenyum dan berkira-kira untuk ber'shopping' sakan dihujung minggu ini. Awas!  ingat belanja mestilah berwaspada dan pastikan bil-bil yang wajib dibayar perlu dilangsaikan dahulu sebelum bergembira. Pastikan juga budget selepas raya perlulah diselamatkan awal-awal daripada menjadi mangsa korban menyambut hari raya ini. 


    Semoga Aidilfitri kali ini membawa seribu rahmat, ketenangan dan kebahagiaan buat kita semua. Rancanglah perbelanjaan dengan berhemah dan berpada-pada. Semoga kita menjadi hamba yang bertaqwa dan  membazir itu adalah sahabat syaitan.  Apa yang penting Syawal yang menjelang tiba ini akan mengeratkan ukhwah dan silratulrahim sesama saudara.




    Jangan lupa juga rancanglah perjalanan yang selamat untuk sampai ke destinasi. Terutama kepada perantau yang jauh, pastikan kereta diservis terlebih dahulu agar perjalanan anda terjamin. Pastikan juga tidur dan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan kerana memandu memerlukan tenaga dan fokus yang tinggi untuk sampai ke destinasi yang ditujui. 


    p/s - Sekian, wassalam!

    10 ADAB BERPUASA

    Disaring dari kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’ 

    karangan : al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad (1132H) 


    Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ; 


    1. Menjaga lidahnya dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya, 



    2. Memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syara’ dan yang sia-sia, 



    3. Mengawal perutnya dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilakn pemakanan yang halal lagi bersih, 

    Ulama silam pernah berpesan : “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka ?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri dari terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal. 



    4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan saw : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” [an-Nasaei] 

    Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang berpuasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa ianya lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasullah saw : “Puasa itu adalah ‘ perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor dan melakukan keburukan. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Saya sedang berpuasa”. [al-Bukhari dan Muslim] 




    5. Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan besederhanalah pada keduanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai. 




    6. Jauhikan diri dari mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja di bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Pengembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan. 



    Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan Iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan dari Allah swt, kekusyukkan diri ketika bermunajat dan berzikir kepadaNya. 

    Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah swt. 


    Sabdanya : “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantung perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” [ Ahmad dan at-Tarmiziy]. 

    Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut : ‘Sekiranya perutmu kenyang angota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang’. 
    As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa. 



    7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan ini bahkan mengambil kesempatan yang ada bagi beribadat kepada Allah dan mengingatiNya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tangungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya. 



    8. Mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ianya tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur. 

    Nabi saw berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. 
    Sabdanya : “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. [Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim]. 



    9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda saw : “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”. [al-Baihaqi dan ibnu Khuzaimah]. 



    10 . Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, witir dan sebagainya. 

    Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Tarawihnya sepertimana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat Tarawih mereka kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat tersebut seperti ; meninggalkan tomakninah semasa ruku’ dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan Tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya. 
    Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, ruku’, sujud, khusuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya. 

    Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya di dalam mengerjakan solat Tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat. Sabdanya saw : “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” [an-Nasaei]. 





    p/s : Artikel yang bermanfaat untuk dikongsi bersama. Sumber dari En. Google